Malaysia Dateline

Menteri Kesihatan digesa tetapkan harga siling kit ujian Covid-19, elak pencatutan harga

Kerajaan melalui Menteri Kesihatannya, Datuk Dr Adham Baba digesa untuk menetapkan dan mengumumkan had siling harga jualan bagi kit saringan Covid-19 untuk mengelakkan pencatutan harga.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah berkata, dengan itu kerajaan boleh mendakwa mana-mana penjual yang didapati melanggar had siling tersebut.

Menurutnya lagi, untuk menggalakkan penggunaan kit-kit ujian saringan kendiri ini, kerajaan perlu pertimbang rebat cukai yang bermakna untuk semua syarikat yang ingin menggunakan kit-kit tersebut untuk membuat saringan terhadap para pekerja mereka secara berkala.

“Satu mekanisma pelaporan dalam talian yang bersesuaian boleh diwujudkan sebagai asas mendapatkan rebat tersebut apabila tiba masa melaporkan cukai syarikat.

“Kerajaan perlu meraih faedah kesihatan awam maksima dari penggunaan meluas kit-kit ujian saringan kendiri ini oleh individu mahupun syarikat.

“Kerajaan juga perlu berbincang dengan syarikat-syarikat pengeluar untuk mewujudkan mekanisme pelaporan mudah menggunakan MySejahtera bagi mereka yang didapati positif setelah membuat ujian saringan dengan kit-kit ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tidak sukar untuk mewujudkan sistem kod bar yang boleh diimbas dan dihubungkan dengan satu modul dalam MySejahtera untuk melaporkan keputusan positif.

Ini katanya akan meningkatkan jumlah ujian dan membantu pengawasan keberadaan Covid-19 dalam masyarakat.

“Saya gesa Menteri Kesihatan untuk segera memberi respon kepada cadangan-cadangan ini, yang akan saya bawa ke sidang khas Parlimen minggu hadapan walaupun wujud pelbagai kekangan untuk berbahas,” katanya lagi