Malaysia Dateline

Menteri Kesihatan ditegur jangan pandang remeh peningkatan COVID-19

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegur sikap Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang berbangga dengan jumlah kes sembuh setiap hari disebalik kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu yang masih mencatat empat angka.

Beliau berkata, Menteri Kesihatan tidak sepatutnya memandang remeh peningkatan wabak Covid-19 yang semakin kritikal kerana statistik berkenaan berpotensi untuk mengatasi negara China.

“Adakah Menteri Kesihatan ini sedang cuba merendah-rendahkan keseriusan peningkatan mendadak kes Covid-19?

“Malaysia mungkin akan mengatasi China yang sebelum ini merupakan negara nombor 1 di dunia dengan jumlah kes tertinggi pada peringkat awal sekiranya Malaysia tidak mengurangkan peningkatan harian kes empat angka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Adham berkata Malaysia berjaya mengimbangi kes positif jangkitan Covid-19 dengan kadar kesembuhan lebih tinggi berbanding ketika gelombang pertama dan kedua pandemik itu.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil daripada usaha kerajaan yang menggunakan pelbagai langkah kesihatan awam dalam menangani pandemik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Kit Siang mengingatkan sekiranya peningkatan harian di Malaysia terus kekal berada di dalam julat empat angka, Malaysia akan mengatasi China dengan mencatatkan lebih banyak jangkitan Covid-19 menjelang penghujung tahun 2020.