Malaysia Dateline

Menteri Kesihatan gagal kemuka analisis peningkatan kes, langkah tangani Covid-19

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba langsung tidak memberi penjelasan berhubung analisis peningkatan membimbangkan kes Covid-19 yang sudah mencapai 17,000 kes sehari.

Khalid Samad (PH-Shah Alam) membangkitkan hal tersebut dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini walaupun menteri berkenaan diberi tempoh panjang untuk memberi penjelasan.

“Ucapan menteri selama 55 minit tanpa ada analisa kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini.

“Keadaan sudah terdesak dan meruncing. Di mana silapnya? Tiada analisis daripada beberapa ratus kes sehari jadi 17,000 kes sehari,” katanya ketika mencelah perbahasan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor).

Terdahulu, Adham memberitahu terdapat 221 buah hospital di seluruh negara pada masa ini yang dikhususkan bagi rawatan pesakit Covid-19 termasuk 11 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) adalah berstatus ‘full Covid-19’.

Ahli Parlimen Tenggara itu juga berkata, KKM telah menambah lima lagi Modular Unit Rawatan Rapi (ICU) di beberapa hospital yang mempunyai kes tinggi iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Tambahan), Hospital Selayang, Hospital Tuanku Jaafar, Hospital Tawau dan Hospital Sibu bagi menampung peningkatan kes Covid-19 khususnya kategori 4 dan 5.

Mengulas penjelasan berkaitan deretan angka oleh Adham itu, Khalid berkata, menteri berkenaan tidak memperincikan langkah yang sepatutnya dalam mengekang penularan jangkitan.

“Apa yang dikemukakan ialah apa yang sudah dibuat, di hospital tambah itu, ini. Tapi apa langkah yang harus kita lakukan.

“Inilah kesilapan dalam menangani pandemik Covid-19 yang tidak dilakukan kerajaan Persekutuan,” tegasnya.

Dalam masa sama, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) membidas dakwaan tentera siber pro kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa kerajaan negeri Selangor diterajui Pakatan Harapan (PH) gagal mengawal Covid-19.

“Segala komen khususnya J-KOM (Jabatan Komunikasi Komuniti) yang menyalahkan Selangor, kita berada dalam keadaan darurat.

“Kerajaan Selangor nak bersidang pun tak boleh, apa lagi hendak menangani kecemasan yang sehebat ini.

“Saya sangat, sangat kecewa, (selama) 55 minit (Menteri Kesihatan berucap), tiada analisa, tiada penyelesaian,” ulangi Khalid lagi.

Untuk rekod, Selangor merekodkan jumlah kes harian Covid-19 yang membimbangkan dengan 82,564 kes sepanjang 13 hingga 26 Julai.

Mengikut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, empat daerah paling tinggi merekodkan kes jangkitan bagi tempoh 14 hari itu ialah Petaling dengan 26,771 kes diikuti Hulu Langat (17,343 kes), Klang (15,438 kes) dan Gombak (11,306 kes).

Semakan Malaysia Dateline mendapati, bilangan kes kumulatif di Selangor setakat semalam sudah mencecah 373,977 kes iaitu 36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di negara ini.