Malaysia Dateline

Menteri Kewangan berbohong, campur RM6 bilion projek BN dalam senarai projek PH

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz didakwa sengaja menokok nambah senarai projek rundingan terus yang diluluskan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Zafrul cuba ‘mencampurkan sekali’ beberapa projek yang pernah diluluskan Barisan Nasional (BN) dan mendakwa ianya adalah projek pemberian PH.

Walhal jelas Lim, jumlah rundingan terus yang diluluskan PH hanyalah membabitkan sebanyak RM352 juta dan bukanlah RM6.61 bilion.

“Apa yang mengejutkan, rupa-rupanya projek di bawah inisiatif PH bukanlah RM6.61 bilion seperti yang diwar- warkan, tetapi sebenarnya RM352 juta.

“Baki RM6.258 bilion ialah projek yang diwarisi dan sambungan dari zaman BN yang terpaksa diteruskan oleh PH.

“Bezanya, PH telah meneruskan projek-projek ini dengan pemotongan kos yang menghasilkan penjimatan yang ketara,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini

Kata ahli Parlimen Bagan itu lagi, sekiranya mengambil kira nilai projek rundingan terus di bawah inisiatif PH iaitu RM352 juta, ia merupakan hanya 0.07 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan kerajaan tempoh itu (2018-2019) sebanyak RM 477.38 bilion.

Dalam erti kata lain ujarnya, 99.93 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan telah ditawarkan melalui kaedah tender terbuka dan bukan rundingan terus.

“Jelas sekali ini adalah satu penipuan besar oleh Zafrul yang mengatakan PH telah meluluskan RM6.61 bilion projek rundingan terus.

“Zafrul meletakkan projek zaman BN sebanyak RM6.258 bilion sebagai projek zaman PH yang hanya berjumlah RM352 juta sahaja.

“Keraguan kami ternyata terbukti dengan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didedahkan oleh Kementerian Kewangan semalam,” katanya lagi.