Malaysia Dateline

Menteri Kewangan dedah 101 projek Runding Terus

Setelah dicabar Menteri Kewangan Datuk Seri Zafrul Aziz hari ini mendedahkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion melalui perolehan kerajaan secara Rundingan Terus (RT).

Dalam kenyataannya beliau menyenaraikan kesemua 101 projek berkenaan yang mana melibatkan 20 kementerian.

Beliau berkata, perolehan secara RT dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling yang berkaitan.

Katanya, RT dibenarkan dengan memenuhi syarat-syarat antaranya, perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara.

Syarat yang seterusnya kata beliau, keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh.

“Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja.

“Keselamatan/ strategik yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara.

“Kontrak dengan syarikat pembuat (manufacturer) Bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan,” kata beliau.

Di dalam lampiran yang disediakan Menteri Kewangan turut memaklumkan Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli antara yang terbanyak iaitu sebanyak 13 projek, manakala keduanya adalah Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia sebanyak 12 projek.

Terdahulu, Zafrul dalam sidang Dewan Rakyat memberitahu, Kementerian Kewangan yang diterajui Lim Guan Eng sebelum ini telah meluluskan 101 projek bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Sementara itu, Lim Guan Eng bersama bekas Menteri Kabinet PH dalam satu sidang media turut menyatakan pendirian sama dan mencabar Zafrul untuk mendedahkan syarikat-syarikat yang mendapat tender berkenaan dan Menteri mana yang memohon secara rundingan terus.