Malaysia Dateline

Menteri Kewangan digesa jelaskan ‘kekangan teknikal’ dalam pembayaran BPN

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz didesak memberi penjelasan tentang ‘kekangan teknikal’ yang timbul berkaitan bayaran BPN fasa kedua dalam kenyataannya semalam.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, Tengku Zafrul digesa memberi penjelasan tersebut apatah lagi jika diambil kira bahawa ini bukan pertama kali kerajaan menyalurkan bantuan tersebut.

Syahredzan yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, harus ditekankan bahawa ramai di luar sana yang bergantung kepada BPN ini.

Jelasnya, sebarang kelewatan dalam menyalurkan bantuan pasti akan memberi kesan yang besar kepada mereka.

“Menurut ucapan Menteri Kewangan, bagi permohonan baharu yang layak dan rayuan, hanya 830,000 penerima atau 36 peratus daripada 2.3 juta jumlah penerima yang layak telah menerima BPN mereka setakat ini.

“Pengumuman BPN ini telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Mac 2020 dan sekiranya bayaran masih belum disalurkan sehingga hari ini, ini bermakna sudah 54 hari berlalu sejak pengumuman PM tetapi masih ramai lagi yang belum mendapat bantuan,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Syahredzan merujuk ucapan Tengku Zafrul mengenai Laporan Laksana Keenam, Perlaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang bertarikh 19 Mei 2020.

Menurut ucapan tersebut, Menteri Kewangan telah memaklumkan bahawa terdapatnya beberapa ‘kekangan teknikal’ yang menyebabkan usaha menyalurkan BPN bagi fasa kedua terpaksa dilanjutkan kepada 22 Mei 2020 daripada minggu lepas.

Dalam pada itu Syahredzan berkata, kerajaan juga telah memaklumkan sebelum ini bahawa tarikh tutup rayuan bagi BPN telah dipanjangkan sehingga 31 Mei 2020.

Katanya, Menteri Kewangan juga wajar memaklumkan jangka masa rayuan itu akan diproses, dan bila penerima yang layak akan menerima bayaran tersebut.

“Wabak Covid-19 adalah suatu krisis yang belum pernah kita alami sebelum ini. Ia bukan setakat krisis kesihatan awam, tetapi juga menjadi krisis ekonomi yang serius.

“Ramai yang tiada pilihan selain bergantung kepada bayaran BPN untuk menyara hidup mereka, ditambah lagi dengan perayaan Aidilfitri yang bakal tiba,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, Kementerian Kewangan harus mempercepatkan pembayaran BPN dan melancarkan segala kekangan teknikal dengan seberapa segera bagi memastikan bahawa bantuan dapat disalurkan kepada rakyat. – Kredit: HANA. M