Malaysia Dateline

Menteri Kewangan perlu segera jawab persoalan PKS

Menteri Kewangan diminta segera menjelaskan persoalan berbangkit dikalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berkenaan cukai ke atas subsidi gaji kepada golongan itu.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, piawaian perakaunan yang digunapakai ketika ini menyatakan bahawa subsidi perlu dikategorikan sebagai ‘pendapatan lain’ yang bermaksud ia boleh dikenakan cukai dalam keadaan yang biasa.

Beliau berkata, sekiranya subsidi gaji boleh dicukaikan, maka majikan akan dikenakan cukai sekiranya menerima subsidi tersebut.

“Syarikat perlu membayar 17 peratus cukai untuk hasil mereka yang kurang daripada RM 500,000 setahun.

“Kesannya, majikan tidak akan mendapat nilai sebenar subsidi gaji sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja dan kerajaan tidak akan memperolehi impak sepenuhnya dalam program rangsangan ekonomi atau pemulihan ekonomi ini.

“Hakikatnya, RM13.8 bilion yang diumumkan untuk subsidi gaji sebenarnya lebih rendah iaitu sekitar RM11.5 bilion,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, ia adalah tidak munasabah untuk kerajaan mengenakan cukai seperti itu terhadap PKS dalam masa kritikal ini.

Menurutnya, ia juga tidak rasional untuk memberikan subsidi gaji pada masa ini dan kemudian perlu membayar balik sebahagian kepada kerajaan.

Tegasnya, sekiranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih tidak menjawab soalan ini, ia cuma akan menimbulan kekeliruan dan ketidakpastian kepada golongan PKS dalam negara.

“Walaupun kebanyakan isu-isu kritikal sebegini sepatutnya dibawa dan dibahaskan di Parlimen, tetapi disebabkan pengaturan sesi parlimen kali ini yang menyebabkan ahli parlimen tidak dibenarkan bertanya atau membahas, saya berpendapat bahawa Menteri Kewangan perlu segera menjawab soalan ini,” katanya.