Malaysia Dateline

Menteri Kewangan ugut, ketepi suara majoriti MP

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz apabila mengaitkan sokongan Belanjawan 2021 dengan gaji penjawat awam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan soal emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus dan utamanya perbelanjaan untuk barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan tetap dipertahankan.

“Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti Ahli Parlimen.

“Saya yakin bahawa kita mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19 jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Anwar mengulangi tuntutan supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengkaji semula belanjawan terbesar membabitkan RM322.5 bilion yang dibentangkan, 6 November lalu.

“Saya ulangi gesaan untuk kerajaan teliti semula Belanjawan 2021. Pembangkang hanya mendukung sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk memerangi Covid-19,” tegasnya lagi.