Malaysia Dateline

Menteri Khairuddin langgar kurantin 14 hari, datang ke Parlimen

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 apabila tidak melakukan kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata, Mohd Khairuddin (Pas – Kuala Nerus)  yang sepatutnya perlu mengasingkan diri untuk tempoh 14 hari bagaimanapun dilihat hadir ke Parlimen pada 13 Julai lalu.

Kok berkata, ahli Parlimen Kuala Nerus itu dilaporkan berkunjung ke Turki pada 3 hingga 7 Julai, dan hadir ke Parlimen enam hari selepas itu.

“Kita tahu semua orang yang berkunjung ke luar negara harus dikuarantin selama 14 hari (selepas pulang).

“Tetapi Menteri sendiri tak ikut SOP (peraturan yang ditetapkan),” katanya semasa berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu juga dipersoal Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang berkata jika dakwaan itu benar, tindakan Menteri terbabit boleh dianggap tidak bertanggungjawab kerana di Turki sendiri mempunyai hampir 250,000 kes Covid-19.

Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) pula bingkas berdiri dan meminta tindakan diambil ke atas ahli Parlimen Pas itu kerana tidak mematuhi SOP selain mendedahkan Parlimen kepada ancaman virus berbahaya itu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon kemudiannya meminta Rayer menulis aduan berkenaan untuk tindakan selanjutnya

“Keputusan saya adalah agar Jelutong menulis surat kepada Pejabat Yang Dipertua untuk perkara itu,” katanya.

Untuk rekod, seawal pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, kerajaan telah pun mewajibkan semua rakyat Malaysia yang pulang ke Malaysia perlu menjalani kuaratin wajib di rumah sendiri.

Pada Julai pula, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengarahkan agar semua warga asing dan rakyat Malaysia yang baru tiba atau pulang dari luar negara, diwajibkan menjalani kuarantin wajib 14 hari, namun di stesen yang ditetapkan dan bukan lagi di rumah.

Pada minggu lalu seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.

Manakala pada Mei lalu, tiga pelajar Universiti yang dibawa pulang dari Kuala Lumpur ke Tawau ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak mematuhi arahan peraturan kuarantin di rumah.