Malaysia Dateline

Menteri KPT memperbudak mahasiswa, minta tarik balik pertandingan Tik Tok

Tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menganjurkan aktiviti Tiktok sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diselar bukan sahaja tidak menghormati intelek pelajar bahkan turut dianggap ‘memperbudak-budakkan’ mahasiswa.

Turut membantah adalah Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (Angkasa) yang mencadangkan agar menteri berkaitan menarik semula, sekali gus membatalkan pertandingan TikTok yang dilihat memalukan.

Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional, Amin Mubarak, berkata kementerian seharusnya mengambil peranan dalam menyelesaikan isu dasar mahasiswa dan Universiti yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.

AMIN MUBARAK

Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya KPT menimbangkan untuk menyediakan perancangan jangka masa panjang berhubung pembelajaran atas talian.

“Kami mengambil maklum, masih ada lagi kelompongan dalam dasar yang masih belum dijelaskan oleh KPT selaku payung kepada institusi pengajian tinggi.

“Ia termasuklah status pelajar yang mengambil latihan industri, masalah kesihatan mental mahasiswa yang semakin meruncing ketika wabak ini, dan akses internet yang terbatas bagi mahasiswa yang kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad mendapat kecaman hebat daripada netizen selepas memuatnaik satu tweet dengan mempromosikan pertandingan TikTok yang dianjurkannya.

Lebih mengejutkan ramai apabila beliau juga turut berkongsi satu video TikTok yang menampilkan dirinya bersama-sama dua orang influencer iaitu Noreen dan Iskandar Rahman.

Namun dari hasil carian Malaysia Dateline, video berdurasi 0:45 saat yang dimuatnaik itu bagaimanapun telah dipadam dari akaun twitter rasmi Menteri terbabit.

“Walaupun ciapan tersebut telah dibuang oleh pihak Menteri di media sosial, kami merasakan bahawa perancangan untuk menganjurkan aktiviti ini menunjukkan Menteri KPT tidak menghormati Intelek dan memperbudak-budakkan mahasiswa,” katanya lagi.

Amin turut berkata, kegagalan Menteri KPT memberi aspirasi kepada mahasiswa jelas menunjukkan antara kelemahan terbesar di dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu, Amin menegaskan, Inisiatif Malaysia Membaca yang pernah dibawa bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), seharusnya diperkasakan semula.

Pada masa sama, Amin menyeru agar mahasiswa terus memanfaatkan cuti dengan memperkasakan kemahiran dalam setiap aspek melalui pembacaan disamping meneroka ilmu dan input baharu.

Pemuda Berjasa pula berpendapat, aplikasi tersebut semakin menghancurkan anak muda.

Setiausaha Angkasa, Firdaus Hamdan turut menegaskan supaya ianya diharamkan.

“Hakikatnya, pelbagai lagi pertandingan yang bermanfaat boleh dianjurkan untuk menarik minat anak muda terus kekal di rumah. Mahu atau tidak mahu sahaja, atau lebih memilih maksiat daripada kebenaran.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dihadapi oleh rakyat ketika ini, ia seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Timbul pula satu idea yang sangat memalukan daripada wakil kerajaan. Adakah serendah itu pemikiran seorang menteri? Tidak ada pertandingan lainkah yang boleh dianjurkan oleh kementerian?,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.