Malaysia Dateline

Menteri Luar NAM terus bermesyuarat, terima dokumen persidangan berkaitan agenda

Hari terakhir Mesyuarat Peringkat Menteri Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 bermula di sini pada Khamis pagi dengan para menteri meneruskan perdebatan interaktif mereka sebelum penerimaan Dokumen Persidangan pada sebelah petang.

Perdebatan interaktif itu, yang berlangsung di Hotel Baku Boulevard, dimulakan pada pukul 9 pagi (kira-kira 1 tengah hari waktu Malaysia).

Dokumen terbabit ialah Dokumen Akhir, Deklarasi Baku, Deklarasi mengenai Palestin dan Laporan Umum.

Menteri Luar Azerbaijan Elmar Mammadyarov dijadual menyampaikan Kenyataan Penutupan selepas penerimaan Dokumen Persidangan.

Pada sidang kemuncak itu, Republik Azerbaijan di bawah Presiden Ilham Aliyev kini mengambil alih kepengerusian NAM bagi tempoh tiga tahun berikutnya daripada Venezuela.

NAM mempunyai 120 negara anggota, 17 negara pemerhati dan 10 organisasi pemerhati.

Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan NAM ke-18 akan berlangsung pada 25 dan 26 Okt.

Sidang kemuncak itu didahului Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) pada 21 dan 22 Okt serta Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri pada 23 dan 24 Okt.– BERNAMA