Malaysia Dateline

“Menteri lulus RM8,000 untuk JASA, kita boleh luluskan”

Sejak awal pagi tadi, ahli-ahli Parlimen blok pembangkang terus membangkitkan isu berhubung peruntukan kepada Hal Ehwal Jabatan Khas (JASA) yang dihidupkan semula sebagai unit propaganda politik kerajaan.

Perkara tersebut dipertikaikan ramai pihak apabila pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu menyaksikan kerajaan memperuntukkan sehingga RM85 juta berbanding RM30 juta pada Belanjawan 2018.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) bangkit di Dewan Rakyat hari ini berkata Belanjawan 2021 tidak mungkin akan diluluskan begitu mudah jika ianya tidak dipinda semula untuk membela nasib rakyat seperti yang dituntut.

Ketika mencelah perbahasan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim katanya, ini kerana peruntukan untuk menangani wabak Covid-19 sendiri hanya sekadar 5.3 peratus dari keseluruhan belanjawan yang berjumlah RM322.5 bilion.

Beliau juga mendakwa wujudnya manipulasi belanjawan dan angka yang banyak disorok sana dan sini terutama tentang peruntukan vaksin Covid-19 yang diumum berjumlah RM3 bilion.

“Jumlahnya (untuk propaganda) besar sangat. Kalau Menteri Kewangan luluskan RM8,000 tak apalah. Kita boleh luluskan.

“Tapi dalam keadaan rakyat susah, ianya zalim ambil wang RM80 juta kemudian RM8.6 juta untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” Katanya lagi.

Isu peruntukan JASA itu juga mendapat perhatian Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang mencadangkan agar kerajaan membatalkan peruntukan kepada JASA dan disalurkan kepada petugas barisan hadapan.

Ianya turut disokong Akmal Nasir (PH-Johor Bahru) yang kemudiannya membangkitkan di mana RM3 bilion yang dikatakan telah diperuntukkan untuk vaksin Covid-19, kerana ianya sama sekali tidak dinyatakan di dalam perincian Belanjawan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pula berkata, “Saya simpati dengan Kementerian kewangan sebab dia bukan orang politik. Bila jadi macam ini, yang kena jawab Menteri Kewangan. Batalkan je lah,” katanya lagi.