Malaysia Dateline

Menteri makan stik dalam daun emas kena kecam

Rakyat Vietnam berang apabila menteri mereka dilihat menikmati stik yang dibalut dengan daun emas di restoran mewah di London.

Menerusi sebuah video yang tular di negara itu, Menteri Keselamatan Awam, To Lam dilihat menyuap menu makanan itu di Nusr-Et Steakhouse di sebuah kawasan mewah di Knightsbridge.

Mulanya, video itu dimuatnaik oleh restoran itu sebelum tersebar di Tiktok dan Facebook di Vietnam, sejak semalam walaupun telah dipadamkan.

Kehidupan mewah ahli politik itu mencetuskan kemarahan rakyat Vietnam ketika ekonomi majoriti rakyat terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.

Lapor AFP, penduduk Vietnam hanya memperoleh pendapatan secara purata sebanyak AS$184 (RM765) pada 2020 mengikut Pejabat Ketua Perangkaan Negara.

Restoran Nusr-Et, yang dinamakan sempena chef dari Turki, Nusret Gokce yang mempunyai pengikut hampir 40 juta di Instagram dikenali sebagai Salt Bae, menyajikan stik yang dibalut dalam daun emas 24 karat dengan harga lebih AS$1,000 (RM4,160).

Antara selebriti antarabangsa yang pernah berkunjung ke restoran yang mempunyai cawangan di seluruh dunia itu ialah David Beckham, Leonardo DiCaprio dan Naomi Campbell.