Malaysia Dateline

Menteri mengelak jawab isu kematian Adib

RSN Rayer (PH-Jelutong) mendakwa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin cuba mengelak daripada menjawab persoalannya berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib yang diutarakannya dalam sesi sidang Dewan Rakyat semalam.

Rayer berkata, soalannya sama sekali tidak dijawab dengan jelas yang meminta kepastian adakah akan ada individu yang akan didakwa di bawah akta 302 kanun keseksaan kerana membunuh.

Namun menurutnya, jawapan yang diterima hanyalah cadangan bahawa 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, akan dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK) mengenai rusuhan.

“Apabila didesak, beliau beri jawapan bahawa kes akan disiasat semula dan akan dituduh atas Seksyen 143 kerana merusuh. Ia tidak menjawab soalan saya.

“Soalan saya siapakah yang akan dituduh di bawah kesalahan membunuh (Seksyen) 302 kanun keseksaan,” katanya.

Dakwaan Rayer itu kemudiannya dicelah ahli Parlimen Krau, Datuk Seri Dr Ismail Said yang mempertahankan jawapan Hamzah semalam.

Katanya, Hamzah tidak melarikan diri dari menjawab soalan sebaliknya suasana dewan yang kecoh ketika itu menyebabkan ahli Parlimen Larut itu tidak mempunyai banyak masa untuk menjawab pertanyaan tersebut.

Bagaimanapun Ismail berkata, Menteri telah menjelaskan bahawa kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sama ada akan terus menuduh 12 suspek di bawah Seksyen 143 atau mengadakan inkues semula.

Speaker Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudiannya meminta Rayer membuat satu surat bertulis kepadanya untuk menyatakan di manakah kekeliruan yang timbul berhubung jawapan Hamzah.

“Mengikut peraturan, kalau nak bangkitkan soal pengeliruan dalam Dewan, maka Yb perlu satu usul mengenai perkara itu.

“Surat boleh ditulis kepada saya dan tunjuk bagaimana benda itu mengelirukan. Usul boleh dikemukakan untuk diambil tindakan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya lagi.