Menteri-menteri Kabinet Ismail sendiri punca kerajaan tidak stabil bukan blok pembangkang

Oleh ARIF ATAN

Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik sepatutnya ditandatangani dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan bukannya blok pembangkang, kata Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman.

Ini kerana katanya, ketidakstabilan kerajaan adalah berpunca daripada Langkah Sheraton yang digerakkan menteri-menteri Kabinet Ismail dan diikuti dengan perpecahan dalam gabungan kerajaan itu sendiri.

Beliau juga menyatakan kekhuatirannya di mana sebarang perjanjian PH dan kerajaan berkemungkinan akan mengikat kebebasan pembangkang untuk mempersoal dasar dan pelaksanaan dibuat kerajaan

“Namun, jangan pula kata Warisan tak mengutamakan kepentingan rakyat, tidak menyokong transformasi kerajaan dan Parlimen. Dan kononnya Warisan tidak patuh pada saranan Yang di-Pertuan Agong agar fokus pada pemulihan negara.

“Parti Warisan tak ada halangan untuk menyokong transformasi di bawah MoU selagi mana ia memberi manfaat kepada rakyat.

“Namun, isu ini menjadikan rakyat tertanya adakah MoU tersebut secara tidak langsung mengiktiraf kewujudan kerajaan yang merampas mandat rakyat.

“Persoalan ini membuatkan rakyat keliru tentang peranan kita sebagai pemimpin,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat petang ini.

Pada 13 September lalu, lanskap politik negara melakar sejarah baharu apabila Ahli Parlimen dari kerajaan dan PH menyatakan komitmen bersama dan menandatangani memorandum persefahaman.

Ia bagi mengukuhkan kerjasama rentas parti serta mengembalikan semula kestabilan politik.

Memorandum yang terhasil itu adalah daripada beberapa perbincangan di antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan lalu dan dimuktamadkan serta dipersetujui bersama.

Sementara itu, Azis berkata, semua pihak perlu jelas bahawa setiap peruntukan adalah hak rakyat di mana wakil-wakil rakyat hanya menjadi pengantara untuk menyalurkan bantuan.

Justeru katanya, jika benar mahu melaksanakan transformasi, peruntukan perlu diberikan tanpa perlu mengikat perjanjian kerana peruntukan untuk rakyat adalah kewajiban yang perlu dipenuhi.

“Bukankah beri imbuhan atas sokongan itu adalah rasuah?,” soalnya pula.