Malaysia Dateline

Menteri-menteri PN bergaduh isu Undi18

Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan bergaduh sesama sendiri mengenai Undi18 apabila Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertikaikan kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini.

“Siapa janji laksana Undi18 2021,” tanya Azmin menerusi sebuah laman berita yang cuba mempertahankan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menangguhkan Undi18 ke September 2022.

“Nampaknya Menteri PN bergaduh sesama sendiri pasal pengundi 18 tahun,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi (gambar) ketika mengulas apa yang berlaku.

“Azmin Ali tanya, siapa yang janji pengundi 18 tahun boleh mengundi pada tahun 2021.

“Kalau begitu, apakah Takiyuddin suka suka hati dia umum pengundi 18 tahun boleh mengundi pada bulan Julai 2021?” tanya beliau lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, “Kalau Astro Awani salah lapor, mereka kena minta maaf dengan Takiyuddin.

“Nanti kena saman pula,” kata beliau yang dipercayai menyindir tindakan saman yang dikenakan ke atas beliau oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri-menteri PN termasuk parti-parti dalam kerajaan turut bergaduh sesama sendiri ekoran pengumuman Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh itu.

Media mula disajikan dengan cadangan untuk menyekat Undi18 apabila Speaker Dewan Negara yang juga pemimpin Bersatu, Tan Sri Rais Yatim menyatakan Undi18 tidak wajar.

Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan usul Undi18 secara sebulat suara.

Pada 3 November lalu, Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan berkata, Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik akan dilaksanakan Julai 2021.

Kelmarin,Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta semua pihak tidak takut dengan Undi18.

Beliau berkata, semua pihak perlu berani berdepan dengan semua peringkat umur dalam mendapatkan legitimasi pemerintahan melalui proses demokrasi

Menurutnya, penyertaan anak muda seawal usia 18 tahun dalam proses demokrasi khususnya pilihan raya adalah satu medan terbaik untuk mereka menentukan masa depan negara.

Jurucakap Pemuda MCA juga membuat kenyataan membantah keputusan SPR ini.