Malaysia Dateline

Menteri mesti ada deria rasa selesaikan masalah harta pusaka tidak dituntut

Pandangan Senator ini memang wajar disokong:

“Senator Dato’ Husain Awang berkata, masalah harta pusaka tidak dituntut sudah membarah dan mungkin akan menjadi lebih parah jika tiada sebarang tindakan dilakukan, sama ada oleh kerajaan dan juga waris.

Katanya, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) sudah melakukan beberapa usaha seperti program lapangan dan promosi di media arus perdana untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan urusan harta pusaka.

“Adakah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli berasakan bahawa usaha tersebut sudah mencukupi untuk memberi kesedaran sebaiknya kepada masyarakat, terutama kepada generasi muda.

“Apakah pula perancangan jangka masa sederhana dan panjang untuk terus mendidik masyarakat mengenai perkara ini,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 di Dewan Negara, hari ini (22 Disember 2021).”

Sebahagian besar harta pusaka yang tidak dituntut ini pastinya harta orang Islam. Pengalaman yang lepas dalam menyelesaikan harta pusaka orang Islam ini lebih rumit sebab melibatkan hukum faraid. Berbeza dengan orang bukan Islam yang lebih mengutamakan wasiat dan mereka bebas untuk memberikan wasiat kepada siapa yang mereka kehendaki.

Selalunya ahli politik akan sebut Islam adalah agama Persekutuan. Memang benar Islam agama Persekutuan tetapi pelaksanaan Islam di Malaysia ini adalah berdasarkan kanun dan perundangan. Bagaimanakah ingin mendaulatkan Islam jika tiada enakmen dan akta dikanunkan?

Dalam penyelesaian pusaka ini, Menteri Agama, Senator Ustaz Idris Ahmad dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hasan boleh membuat sesi libat urus untuk mewujudkan persefahaman berkaitan pentadbiran pusaka orang Islam.

Apa yang penting Menteri mesti ada deria rasa bahawa hal ini lebih mustahak untuk diselesaikan dan mampu diselesaikan berbanding dengan RUU355 yang menghadapi jalan buntu (melainkan ada persetujuan semua orang politik).

Model pembahagian pusaka sekarang ini yang lebih berpusat kepada inisiatif waris secara individu perlu diperluaskan untuk memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mentadbir harta pusaka yang tidak dituntut dalam tempoh tertentu. Pastinya dengan cara ini perjalanan proses pusaka lebih mudah diselesaiakan jika ianya adalah inisiatif kerajaan.

Jika kerajaan tidak mempunyai cukup sumber manusia untuk menjalankan tugas ini maka boleh berikan tugasan secara kontrak kepada peguam-peguam sama ada peguam sivil atau syariah dan kos boleh dibayar daripada harta pusaka si mati tanpa membebankan kewangan kerajaan.

Dengan cara ini, semua pihak akan mendapat manfaat, waris akan mendapat harta yang telah dicairkan, kerajaan akan dapat membangun harta yang beku, peguam akan mendapat kerja tambahan, pegawai pusaka yang sedia ada boleh meneruskan tugasan hakiki mereka.