Menteri minta plaza tol diroboh segera

Menteri minta plaza tol diroboh segera

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof meminta PLUS Malaysia Bhd (PLUS) supaya segera merobohkan pondok tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau di sini, yang dimansuhkan kutipannya sejak 1 Jan lalu, bagi menjamin keselamatan pengguna Lebuhraya Persekutuan.

Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bahawa PLUS, yang merupakan bekas pengendali kedua-dua plaza tol berkenaan, sudah mengeluarkan tender untuk kontraktor menjalankan kerja-kerja perobohan.

Tol berkenaan memang akan dirobohkan selepas kutipannya dimansuhkan. Bila (kerja perobohan) dimulakan itu kita minta PLUS segerakan supaya tiada lagi kekeliruan dan pengguna lebuh raya tidak akan memperlahankan kenderaan di situ. Kadang-kadang memperlahankan kenderaan boleh menyebabkan kemalangan.

Sebab itu memang kita minta (robohkan) secepat mungkin tetapi mereka (PLUS) pun ada prosedur yang perlu dipatuhi, dari segi proses tender apapun kita harapkan mereka akan dapat segerakan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Penempatan

Pekerja Binaan yang disediakan oleh Construction Labour Exchange Centre Bhd (CLAB) di sini hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan mengenai tuntutan beberapa pengguna lebuh raya berkenaan supaya pondok tol di kedua-dua plaza tol tersebut dirobohkan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Ini berikutan terdapat ramai pemandu kenderaan memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba apabila tiba di pondok tol berkenaan kerana laluannya yang sempit.

Kebimbangan itu berasas apabila pondok tol di Plaza Tol Batu Tiga telah meragut nyawa dua sahabat pada Isnin lepas, apabila kereta yang dinaiki mereka bersama seorang lagi rakan hilang kawalan, lalu merempuh pondok tol itu.

Kutipan tol di kedua-dua plaza berkenaan bermula pada 15 Nov 1993 dan ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi Lebuhraya Utara-Selatan.

Pemansuhan kutipan tol itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 pada 27 Okt lepas, sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Selain kedua-dua tol tersebut, pemansuhan kutipan turut melibatkan kutipan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuh Raya Penyuraian Johor Timur (EDL), Johor berkuat kuasa 1 Jan lepas.

COMMENTS

Wordpress (0)