Menteri nafi najis merpati punca murid SK Tanjung Puteri Resort sesak nafas, muntah

Menteri nafi najis merpati punca murid SK Tanjung Puteri Resort sesak nafas, muntah

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, insiden murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor mengalami sesak nafas dan muntah-muntah yang berulang bukan berpunca daripada pencemaran najib burung merpati.

Beliau berkata, pihaknya bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah memberi analisa dan mengemas kini hasil dapatan daripada kejadian pencemaran itu.

“Kita kembali apa yang kami sebutkan, tanpa mengganggu (menghalang) sesiapa pun untuk berikan komen dan pandangan mereka.

“Jadi pandangan kami sehingga hari ini, kita tidak mendapati (pencemaran ini ada kaitan dengan najis burung).

“Fenomena ini kami akan terus pantau,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kurangkan Gula, Hidup Sihat anjuran sebuah pasar raya di Subang Jaya hari ini.

Terdahulu, sembilan kes baharu sesak nafas dilaporkan di Pasir Gudang membabitkan lapan pelajar dan seorang guru dari empat sekolah termasuk di SK Tanjung Puteri Resort, yang dirawat sebagai pesakit luar.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya turut melibatkan sebuah jawatankuasa pakar bebas untuk menyiasat serta mendapatkan analisa dan dapatan yang pelbagai berhubung insiden pencemaran tersebut.

“Kita akan bandingkan hasil dapatan mereka dengan pihak kita. Ia bergantung kepada secepat mana mereka lakukan dan saya jangka hasil dapatan mereka akan siap hujung bulan ini,” katanya lagi.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan insiden murid SK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, mengalami sesak nafas dan muntah-muntah yang berulang turut berpunca daripada pencemaran najis dan hama burung merpati di beberapa bilik darjah sekolah terbabit.