Malaysia Dateline

Menteri Pas anggap arak sebagai hak yang diberi oleh Allah

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam satu wawancara pernah berkata, penjualan arak patut diharamkan sekiranya minuman keras itu memudaratkan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pas yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Terengganu itu juga menyifatkan meminum arak sebagai hak yang diberikan oleh Allah kepada agama lain.

“Isunya adakah ia (arak) memudaratkan? Kalau arak itu memudaratkan maka ia patut diharamkan untuk dijual di peringkat umum.

“Tetapi adapun hak yang diberikan oleh agama masing-masing untuk minum arak, itu hak mereka, dan kita akan benarkan kerana itu hak yang diberikan oleh Allah SWT kepada agama lain.

“Arak sebahagian agama membenarkannya. Kita akan berikan hak kepada mereka,” katanya dilihat yakin dalam wawancara menerusi saluran TV Pertiwi pada Oktober tahun lalu iaitu selepas tujuh bulan Pas menjadi kerajaan.

Selanjutnya, Khairuddin yang disahkan telah diperiksa polis yang melalui sekatan jalan raya (SJR) Perasing, Kemaman pada 16 Mei lalu itu berkata, kerajaan akan memberikan hak kepada bukan Muslim untuk meminum arak.

“Arak itu pertama kita berikan hak kepada mereka yang bukan Muslim untuk minum. Itu hak mereka.

“Yang dibenarkan oleh syariat Islam, syariat Allah SWT, cuma bagaimana cara penjualan itu mesti kita bincang,” katanya ketika menjawab soalan berkenaan adakah Pas akan mendesak supaya penjualan arak diharamkan.

Khairuddin yang sudah dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kuarantin wajib mencegah penularan Covid-19 itu turut mengaitkan kemungkinan arak mendatangkan kemudaratan.

“Kalau dia jual secara berleluasa terbuka hingga menyebabkan orang Islam boleh beli dan boleh minum secara terbuka hingga menyebabkan pandu kereta dalam keadaan mabuk, itu memudaratkan rakyat

“Kita bukan tengok pada arak, kita lihat pada isu memudaratkan menjadi pertimbangan kita.

“Maka selagi ia tidak memudaratkan, orang bukan Islam maka teruskan (minum arak) kerana ia dibenarkan. Itu hak mereka,” ulanginya lagi.

Pas ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 dilihat lantang memperjuangkan isu pengharaman arak.

Parti yang mempunyai 18 Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga sebelum ini menonjol menghentam kerajaan PH setiap kali muncul isu kemalangan termasuk kes maut membabitkan pemandu mabuk.

AMANAH khususnya menjadi sasaran Pas terutama Pengarah Komunikasi parti, Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dalam ciapan di Twitter pada 20 September 2018 misalnya menegaskan perjuangan mengharamkan arak.

“Ayuh sama-sama kita perjuangkan supaya arak diharamkan terus dari Malaysia. Arak merosakkan manusia,” katanya.

Walau bagaimanapun, pada 5 Mei 2020, dia kemudiannya mempersoalkan mengapa isu operasi arak diperdebatkan.

“Tergempar! Arak dan operasinya telah lama berada di Malaysia. Kenapa perkara ini nak diperdebatkan?” sambil menyertakan ulasan Naibnya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin mengupas isu arak.