Malaysia Dateline

Menteri Pas balik dari Turki tidak kuarantin tular kena sindir, kecam

Akibat tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari luar negara, menteri Pas, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menjadi bahan sindiran atau troll warganet dan kartunis.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu dikecam ekoran melanggar prosedur operasi standard (SOP) itu selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu mengadakan lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kerap mengingatkan pentingnya mematuhi SOP ketika menjalani perintah kuarantin di rumah bagi mengelakkan risiko penularan Covid-19.

Beberapa individu ingkar arahan kuarantin balik dari luar negara juga didakwa di mahkamah.

Antaranya, di Bandar Meru Raya, Perak seorang wanita didakwa di mahkamah selepas tular fotonya dengan gelang tangan berwarna merah jambu yang menandakan dia di bawah arahan kuarantin Covid-19.