Malaysia Dateline

Menteri Pas penakut, tidak bertanggungjawab, kata DAP

Tindakan menteri dari Pas Datuk Dr Khairuddin Aman Razali tidak datang menggulung perbahasan untuk kementerian beliau tetapi datang pula untuk mengundi dikecam.

Bagi veteran DAP, Lim Kit Siang, langkah ini menunjukkan tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan penakut.

“Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, menunjukkan sikap dan tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab terhadap Parlimen apabila beliau tidak menggulung perbahasan di peringkat jawatankuasa untuk Kementerian beliau.

“Sebaliknya hanya masuk ke dalam Dewan untuk mengundi bagi meluluskan peruntukan untuk Kementerian beliau apabila berlakunya belah bahagi,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataannya.

Katanya, ini adalah tindakan yang paling tidak bertanggungjawab yang pernah dilakukan oleh seorang menteri dalam tempoh enam dekad sejarah Parlimen Malaysia.

“Menteri tidak berani untuk berhadapan dengan para Ahli-ahli Parlimen untuk menjawab kritikan mengenai kementeriannya sendiri, di mana menteri hanya hadir untuk mengundi semata-mata,” kata beliau.

Bagi beliau, ini adalah satu lagi bukti kakistokrasi yang ada dalam kerajaan di Malaysia.