Malaysia Dateline

Menteri Pas sahkan tiada dakwaan ke atas menteri Pas kerana tidak terima borang 14

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) mengesahkan, kegagalan menyerahkan Borang 14 kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi adalah punca mengapa beliau tidak didakwa kerana melanggar kuarantin wajib selepas pulamg dari Turki.

Datuk Takiyuddin Hassan dalam jawapan bertulisnya kepada soalan ahli parlimen DAP Lim Kit Siang (Iskandar Puteri) berkata, berdasarkan keterangan tersebut, Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap menteri dari Pas itu.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Peguam Negara telah membuat kenyataan media bertarikh 21 Oktober 2020, menjelaskan mengenai tindakan yang diambil berhubung dengan kes YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Siasatan mengenai aduan yang dibuat terhadap YB Menteri di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] telah selesai dijalankan oleh pihak PDRM dan kertas Siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 1 Oktober 2020.

“Seterusnya hasil penelitian Jabatan Peguam Negara dari sudut keterangan mendapati bahawa YB Menteri tidak pernah diserahkan dengan Borang 14b seperti yang diperuntukkan dalam Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan di bawah subseksyen 15(1) Akta 342 supaya YB Menteri menjalani kuarantin.

“Berdasarkan keterangan tersebut, Peguam Negara memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap YB Menteri memandangkan tiada keterangan yang kukuh untuk mengasaskan suatu pertuduhan di bawah Akta 342 atau perundangan subsidiari yang dibuat di bawahnya.

“Keputusan Peguam Negara adalah selaras dengan Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa keputusan untuk memulakan, menjalankan, atau memberhentikan apa-apa presiding bagi sesuatu kesalahan merupakan budi bicara Pendakwa Raya,” kata Takiyuddin dalam jawapan bertulis itu.

Datuk Dr Khairudin Aman Razali telah pergi ke Turki ketika Covid – 19 melanda negara dan perintah kuarantin wajib selama 14 hari telah dikenakan ke atas semua pihak yang pulang dari luar negara.

Beliau telah tiba di negara ini pada 7 Julai dan hadir di Dewan Rakyat kurang dari tujuh hari kemudian.

Walaupun memberikan beberapa alasan sebelum itu Khairuddin kemudian mengakui kesalahan tersebut dan menawarkan gajinya sebagai menteri selama empat bulan untuk disumbangkan kepada tabung Covid-19.