Malaysia Dateline

Menteri Pas tahu halal haram kena bersuara lawan judi, kata bekas Ketua Ulama Pas

Menteri-menteri Pas yang berada dalam kabinet hari ini digesa untuk bersuara membantah kekerapan cabutan khas judi nombor ekor.

Bekas Ketua Ulama Pas Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, walaupun Pas yang minoriti berada dalam kerajaan perlu ada prinsip apatah lagi tahu tentang halal haram hendaklah bersuara dalam isu ini.

“Walaupun bersama dalam kerajaan kita ada prinsip, tahu tentang halal dan haram, maka menteri PAS pun kena lantang bersuara.

“Pegang portfolio (menteri agama) pun pemimpin tertinggi PAS, jadi kita perlu bersuara, jangan anggap kita sebagai minoriti dalam kerajaan kita tak boleh bersuara,” katanya dipetik Free Malaysia Today.

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) Pas itu juga berkata sebagai kerajaan yang berpaksikan Melayu-Islam, sepatutnya cabutan itu dikurangkan dan bukan ditambah.

“Saya berasa tidak senang dengan keputusan kerajaan (naikkan cabutan nombor ramalan), sedangkan kerajaan yang ada ketika ini adalah berpaksikan Melayu-Islam, sepatutnya cabutan ini dikurangkan sedikit demi sedikit, bukan ditambah,’ kata beliau.

Semasa pentadbiran persekutuan Pakatan Harapan berjaya mengurangkan jumlah cabutan khas tahunan dari 22 kepada 11 pada tahun 2019, dan jumlah itu dikurangkan kepada lapan pada tahun 2020. Selain itu terdapat tiga cabutan “biasa” dalam seminggu.

Cabutan khas pertama kali diperkenalkan pada tahun 1999 untuk mengumpulkan dana bagi membantu mangsa virus Nipah.

Namun, pemerintah Perikatan Nasional (PN), yang mengambil alih dari Pakatan Harapan, dilaporkan menaikkan semula jumlah cabutan khas menjadi 22.

PAS adalah anggota kerajaan PN dan juga adalah sebahagian daripada pemerintahan semasa yang diterajui oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub.

Tambahan cabutan khas itu disahkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 20 September.