Malaysia Dateline

‘Menteri patut berada di bilik gerakan, beri arahan bukan berlakon ‘scoop’ itu, ini’

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu menegaskan seorang menteri perlu berada di bilik gerakan dan memberikan arahan kepada pihak yang berkaitan mengenai bagaimana bantuan dan tindakan perlu diambil.

“Bukan pergi berlakon scoop (menyodok) itu, ini. Tu tak perlu.

“Berada di bilik gerakan dan beri arahan kepada pegawai kerajaan, itu (barulah) kerja menteri. Bukan pergi angkut sana sini… ini lakonan.

“Jadi, tinggalkanlah lakonan itu, mari kita memerintah cara betul,” katanya semasa berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Sidang Khas Parlimen hari ini yang membahaskan isu banjir selaras dengan peraturan mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebelum ini, tular aksi Ismail Sabri seolah-olah membersihkan kotoran dengan penyodok di hadapan sekumpulan jurugambar di Hulu Langat, Selangor yang kemudiannya mengundang kecaman rakyat kerana dianggap berlakon ketika rakyat ditimpa kesusahan.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH turut menganggap tindakan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz turun meninjau keadaan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam adalah betul berbanding tindakan Perdana Menteri.

Mohamad berpendapat bukan tugas seorang menteri menyelamatkan mangsa banjir sebaliknya melihat keadaan yang ada di lokasi dan membuat perancangan bagi menangani isu tersebut.

“[…] menteri kewangan turun dengan bot yang penuh, saya setuju. Orang komplen sebab menteri kewangan tidak menyelamatkan orang. Bukan itu tugas Menteri Kewangan.

“Dia pergi tengok, balik, buat bajet untuk bantu rakyat. Itu baru betul,” kata Mohamad lagi.

Aksi lakonan Rina Harun mencuci kaki lima sebuah sekolah dengan ‘waterjet’ semasa banjir juga mengundang sindiran orang ramai.