Malaysia Dateline

Menteri patut guna kuasa elak rakyat kibar bendera putih

Kempen kibar bendera putih sebagai tanda memerlukan pertolongan menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal menangani wabak Covid-19 serta membela kebajikan rakyat.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata, situasi kehidupan rakyat kini begitu tertekan sehingga terpaksa mengangkat bendera putih.

“Apa yang paling menyedihkan bagi saya adalah kempen ini digerakkan sehari selepas pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang kononnya bernilai RM150 bilion.

“Jelas bahawa pakej tersebut terlalu lambat, dan langsung tidak memberi keyakinan kepada rakyat,” ujarnya kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Syahredzan dalam pada itu turut menempelak tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang dilihat seolah-olah menangguk di air keruh.

Beliau merujuk kenyataan Zuraida yang menyokong kempen bendera putih yang digerakkan rakyat sedangkan beliau bersama ahli Kabinet lain ada kuasa untuk menggubal dasar yang menguntungkan rakyat.

“Menteri seperti YB Zuraida tidak wajar ‘hijack’ inisiatif rakyat yang tersepit.

“Inisiatif seperti ini timbul sebab kerajaan sudah gagal. Rakyat sokong kibar bendera putih sebab ingin menolong mereka yang sesak, yang bernafas dalam lumpur, kerana kerajaan telah gagal.

“Menteri ada kuasa, Menteri dalam Jemaah Menteri, gunakanlah kuasa supaya orang tidak perlu kibar bendera putih,” katanya.

Syahredzan turut membidas kenyataan tidak sensitif Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dilaporkan berkata rakyat tidak wajar diajar mengangkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengangkat bendera putih.

“Saya rasa komen YB Nik Abduh itu sungguh ‘tone deaf‘. Seperti tidak memahami rakyat di luar sana. Bahkan boleh dikatakan menghina.

“Orang benar-benar tersepit, sepatutnya dia guna pengaruhnya untuk mencari jalan penyelesaian, bukan memperlekehkan usaha ini,” tegasnya lagi.