Malaysia Dateline

Menteri Pelancongan langgar kuarantin, dakwa Khalid Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mendakwa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri telah melanggar SOP Covid-19 apabila datang ke Dewan Rakyat semalam walaupun beliau masih dalam tempoh kuarantin.

“Sebab itu saya kata, kerajaan PN ini penuh dengan pembohongan dan penipuan. Dia buat SOP, dia sendiri yang langgar,” kata Khalid menerusi bualbicara beliau dengan stesen tv internet Jom Chanel malam tadi.

Menurut Khalid, banyak pihak tahu, seluruh pejabat menteri Kementerian Pelancongan berada dalam tempoh kuarantin apabila salah seorang pegawai kanannya positif Covid-19.

Tetapi, menteri ini boleh datang ke sidang Parlimen semalam selepas membuat satu ujian (swap test) dan didapati negatif.

“Mengikut SOP yang dibuat, dia kena kuarantin 14 hari tetapi dia boleh langgar begitu sahaja untuk datang ke Parlimen.

“Sebab itu kita tidak boleh percaya dengan apa yang mereka katakan tanpa apa-apa bukti yang nyata,” kata Khalid.

Khalid berhujjah demikian ketika menolak penggulungan yang dibuat oleh Menteri Kewangan semalam apabila berkata kerajaan bersetuju dengan semua tuntutan pembangkang termasuk moratorium dan juga pengeluaran dari Akaun 1 KWSP.

“Dia berkata begitu tanpa disokong oleh angka-angka yang jelas. Ia dibuat semata-mata untuk membolehkan kita sokong. Jadi saya anggap ini satu putar belit dan penipuan, sebagaimana yang dibuat menteri pelancongan itu,” kata Khalid.