Malaysia Dateline

Menteri Pelancongan nafi panggil jurugambar ‘rubbish’, ‘idiot’

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi mengundang rasa tidak puas hati kalangan pengamal media apabila didakwa mengeluarkan kata-kata menghina di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Silam dari Parti Warisan Sabah itu didakwa memanggil sekumpulan jurugambar dengan gelaran ‘rubbish’ dan ‘idiot’.

Bagaimanapun, dia ketika ditanya kembali oleh pemberita semasa sidang media parti tersebut menafikan tuduhan itu sebaliknya menasihatkan pihak media terbabit mendengar secara teliti apa yang diucapnya.

“Sebelum soalan lanjut, kami cuma nak minta penjelasan daripada Menteri Pelancongan kenapa tadi dipanggil media rubbish, idiot ketika menjalankan tugas?” tanya seorang wartawan.

“Bila saya kata rubbish, idiot?” soal Mohamaddin kembali.

“Saya tidak mengatakan begitu, lebih baik kamu dengar betul, saya tak cakap begitu,” nafinya menjawab soalan pemberita itu.

Seorang lagi wartawan kemudian bertanya Mohamaddin untuk menjelaskan apa yang diucapnya.

“Kamu buktikan kepada saya bila saya kata (rubbish dan idiot),” jawabnya pula.

Kira-kira sejam sebelum sidang akhbar itu, sekumpulan jurugambar daripada syarikat media berbeza mendakwa Mohamaddin mendekati dan memarahi mereka kerana mengambil gambarnya ketika sedang berjalan di lobi Parlimen.

“Saya yang dulu dia marah, dia tanya ‘Why are you taking my picture’ dan lepas tu dia cakap ‘you better get lost’.

“(Nadanya) serius. Saya, sudah tentu, takut apabila dia tiba-tiba datang kepada saya.

“Saya kata saya hanya (ambil gambar) untuk simpanan,” kata salah seorang daripada jurugambar dari sebuah portal dalam talian.

Dua lagi jurugambar berkata, Mohamaddin mendekati mereka selepas itu kerana mengambil gambarnya dan mendengar dia berkata, ‘What rubbish’.

Bagaimanapun, jurugambar terbabit berkata mereka tidak pasti apa yang dirujuk Mohamaddin apabila dia berkata begitu.

Ekoran dakwaan tersebut, jurugambar itu kemudiannya dipanggil oleh Setiausaha Akhbar Mohamaddin untuk meminta maaf kepada mereka.