‘Menteri Pemaju’: Teresa Kok sedia temui Ku Nan di mahkamah

‘Menteri Pemaju’: Teresa Kok sedia temui Ku Nan di mahkamah

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim sedia untuk menyahut cabaran Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor di Mahkamah menggelar beliau sebagai ‘Menteri untuk pemaju’.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, gelaran itu bukanlah satu fitnah tetapi gambaran sebenar Tengku Adnan yang lebih mesra syarikat pemaju berbanding rakyat.

Ini kerana jelas beliau, bantahan disuarakan penduduk terhadap projek berdensiti tinggi sebelum ini tidak diendahkan menteri terbabit dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Itu sebab saya panggil Menteri Wilayah Persekutuan sebagai ‘Menteri bagi Pemaju’ dan bukan untuk rakyat kerana saya ialah wakil rakyat, saya mempunyai tanggung jawab untuk membentangkan suara hati rakyat,” tegas Teresa.

Menurut beliau, pihaknya bukan membantah segala pembangunan di Kuala Lumpur tetapi ia haruslah seimbang dan mampan, bukannya pembangunan tanpa kawalan dan tanpa perancangan.

Tindakan saman menteri itu jelas Teresa akan membuka ruang lebih luas kepada penduduk di Kuala Lumpur untuk bersuara.

“Jika kenyataan ini menyebabkan saya disaman oleh Menteri, ia akan membuka peluang bagi banyak persatuan penduduk di Kuala Lumpur dan anggota Parlimen Kuala Lumpur termasuk saya untuk membentangkan kes-kes kami di Mahkamah, dan membuktikan bantahan rakyat terhadap pelbagai projek berdensiti tinggi di tapak yang tidak sesuai tidak diendahkan oleh DBKL.

“Kami juga akan membuktikan pembangunan tidak terkawal dan tidak terancang di Kuala Lumpur telah  menjejaskan kehidupan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Teresa turut kesal dengan tindakan Ku Nan mengetepikan dan tidak mewartakan ‘Kuala Lumpur City Plan 2020’.

Sedangkan ‘KL City Plan 2020’ jelasnya telah digubal oleh para pakar perancangan bandar dan membabitkan siri pendengaran dengan pembentangan 5,052 wakil.

“DBKL juga telah mendapat 62,224 maklum balas daripada orang ramai. Objektif ‘KL City Plan 2020’ ialah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar bertaraf dunia pada tahun 2020,” kata beliau.

Teresa turut mengkritik Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL yang tidak lagi mengikuti kegunaan tanah (zoning) yang termaktub dalam ‘KL City Plan 2020’ yang akhirnya meluluskan banyak projek pembangunan berdensiti tinggi di kebanyakan tanah yang tidak lagi sesuai dibangunkan.

Antara contoh kawasan yang bermasalah adalah sebuah lokasi tapak kemudahan awam di Taman Danau Desa yang telah dijual kepada pemaju untuk membina pangsapuri 36 tingkat.

Penduduk di Kuala Lumpur, katanya telah hilang banyak tanah yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan awam dan kawasan lapang.  

Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap senarai panjang kelulusan projek pembangunan tanpa mengikuti ‘KL City Plan 2020’.

“Bantahan daripada banyak persatuan penduduk dan wakil rakyat terhadap projek-projek tersebut langsung tidak diambil berat oleh pihak DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kelulusan projek-projek ini bukan sahaja menjadikan Kuala Lumpur lebih sesak, ia akan menggagalkan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya bertaraf dunia,” kata beliau.

TAGS