Menteri  Pendidikan dedah punca beg sekolah berat

Menteri Pendidikan dedah punca beg sekolah berat

Hanya 28 peratus daripada beg berat pelajar sekolah rendah mengandungi buku teks dan buku aktiviti manakala 72 peratus lagi terdiri daripada alat tulis, buku kerja swasta, gajet dan lain-lain.

Itu pendedahan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika mengulas mengenai isu beg berat dalam kalangan murid-murid sekolah rendah sebelum ini yang menjadi perbualan hangat.

Katanya jumlah itu berdasarkan Kajian Berat Beg Sekolah Rendah pada 2017 yang dijalankan kementeriannya setelah menerima pelbagai aduan, pandangan dan cadangan berhubung isu tersebut.

“Kita dapati kajian itu menunjukkan buku teks dan aktiviti kurang daripada 30 peratus  manakala  72 peratus adalah bahan yang dibawa murid dalam beg sekolah antaranya bekalan makan, uniform sekolah agama dan lain-lain.

“Kita tidak mahu kanak-kanak kita dibebani di dalam usia yang begitu muda dalam perkara yang akan menjejaskan pertumbuhan fizikal mereka dan pertumbuhan psikologi mereka,” jelasnya pada sidang media Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.

Tambahnya kajian tersebut merangkumi beberapa aspek antaranya tahun persekolahan, lokasi, jantina dan jenis sekolah.

Sehubungan itu, kementeriannya merangka tiga strategi bagi menangani isu tersebut.

Antaranya Penguatkuasaan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan Surat Siaran sedia ada yang akan berkuatkuasa 2019. Penggubalan garis panduan kepada murid, guru, ibu bapa dan sekolah, serta menerusi kempen kesedaran dan hebahan maklumat.

“Apa yang berlaku ialah kebanyakan inisiatif sekolah dan guru. Ada sekolah mewajibkan pembelian buku tambahan. Bermula 2019 nanti kita harap beg sekolah tidak membebanka  anak kita supaya tidak membongkok di usia yang masih muda,” ujarnya.

CATEGORIES