Menteri Pendidikan diseru prihatin tangani yuran konvokesyen di IPTA

Menteri Pendidikan diseru prihatin tangani yuran konvokesyen di IPTA

Mahasiswa Keadilan Malaysia menyeru Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengambil berat mengenai situasi graduan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diwajibkan membayar yuran konvokesyen kepada semua pelajarnya.

Exco UiTM Mahasiswa Keadilan Malaysia Nina Caryn Khairul Bahri berkata, kementerian pendidikan dicadangkan agar dapat mengurangkan sebanyak 50 peratus atau dikecualikan membayar yuran konvokesyen di IPTA dikalangan mereka yang tidak dapat hadir.

“Pihak kami telah menerima puluhan aduan daripada mahasiswa berkenaan situasi ini daripada pelbagai institusi-institusi pendidikan tinggi awam di dalam negara ini.

“Oleh itu, kami menyeru pihak Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu daripada Pakatan Harapan mengambil sikap yang lebih proaktif dalam menanggani masalah-masalah mahasiswa dan graduan berbanding kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Kami ingin mencadangkan supaya yuran konvokesyen bagi graduan Institusi Pendidikan Tinggi Awam dikecualikan atau dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi graduan yang tidak dapat hadir istiadat konvokesyen.

“Kami percaya langkah ini boleh mengurangkan beban graduan khususnya yang berasal daripada golongan berpendapatan rendah. Pihak Mahasiswa Keadilan Malaysia akan menunggu respon menteri berkenaan isu, kami yakin pihak kementerian akan mengambil pendirian untuk membela nasib-nasib graduan ini.” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan, mana-mana institusi pendidikan tinggi harus lebih prihatin sebarang tindakan yang boleh membebankan graduan, khususnya bagi mereka yang datang daripada golongan kurang berkemampuan.

Tindakan menahan skrol akademik daripada diserahkan kepada graduan adalah langkah yang mengecewakan telah dilakukan pentadbiran universiti.

“Kami berpendapat tindakan-tindakan sesetengah pendidikan tinggi seperti UiTM yang telah menahan atau menangguhkan pelepasan skrol akademik bagi graduan-graduan yang tidak bayar yuran ini adalah suatu perkara yang amat mengecewakan.

“Terutama sekali jika kita mengambil-kira bagaimana pentingnya skrol tersebut untuk graduan-graduan ini mengambil langkah untuk mendapatkan pekerjaan.

“Kes pengangguran graduan di dalam negara ini sudah berada di tahap yang amat kritikal, pihak universiti tidak harus mengambil langkah-langkah yang boleh membuatkan situasi ini bertambah buruk.

“Kami pasti kesemua graduan ini mahu mendapat pengalaman untuk hadiri istiadat konvokesyen mereka tetapi malangnya sesetengah daripada mereka tidak mampu untuk menampung kos pengalaman tersebut,” ujarnya.

Beliau mendakwa UiTM telah mewajibkan pembayaran yuran konvokesyen kepada semua pelajar walaupun mereka tidak hadir pada hari istiadat konvokesyen diadakan.

“Pihak kami mendapati terdapat ramai graduan daripada institusi pendidikan tinggi awam yang tidak dapat untuk hadir istiadat konvokesyen atas sebab-sebab yang tidak dapat mereka elakkan.

“Situasi ini lebih mengecewakan bagi pelajar yang menetap jauh daripada kampus, khususnya mereka yang tinggal di negeri Sabah ataupun Sarawak.

“Kos penerbangan dan kos penginapan bagi pelajar-pelajar ini boleh membebankan kehidupan pelajar-pelajar yang menghadapi situasi begini,” ujarnya lagi.

Yuran konvokesyen UiTM ini mengikut pengajian seperti Ijazah Doktor Falsafah sebanyak RM230.00; Ijazah Sarjana (RM210.00); Ijazah Sarjana Muda/Profesional (RM175.00) dan Diploma/ CAT sebanyak RM150.00.

Bagi yuran konvokesyen di UTM pula Postgraduate (PhD, Masters, Postgraduate Diploma sebanyak RM250.00; Bachelor Degree (RM200.00) dan; Diploma sebanyak RM180.00

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS