Malaysia Dateline

Menteri Pendidikan gesa Nga Kor Ming tegur sekolah Cina abai bahasa kebangsaan

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini memberi teguran kepada sebuah sekolah di Ayer Tawar, Manjung kerana tidak menggunakan bahasa Melayu dalam kain rentang sekolah.

Teguran tersebut muncul di ruangan komen Instagram milik Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang juga wakil rakyat DAP itu.

Pemimpin Bersatu tersebut menegaskan, poster berkenaan perlulah ditulis menggunakan bahasa kebangsaan memandangkan jata negara turut digunakan.

“Memandangkan logo (lambang) kerajaan digunakan pada poster dan YB (Yang Berhormat) merupakan wakil kepada kerajaan, poster mestilah ditulis dengan menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga menggesa Kor Ming memberi teguran terhadap sekolah tersebut.

“Minta YB menegur pihak sekolah,” tulis Dr Maszlee ringkas.

Gambar kain rentang berkenaan dimuat naik itu di Instagram peribadinya, malam tadi sebagai makluman bahawa beliau akan mengadakan lawatan dan menyampaikan bantuan kepada sekolah itu esok.

Kain rentang yang memaparkan tulisan bahasa Cina itu antara lain mengalu-alukan kehadiran Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan kembali semula ke sekolah lamanya.

Memetik laporan Sinar Harian, Kor Ming ketika dihubungi berkata, mana-mana pihak diharap tidak menjadikan perkara itu sebagai satu isu.

Menurutnya, kain rentang itu bukanlah poster rasmi daripada pihak sekolah kerana dalam versi rasmi dinyatakan secara jelas makluman program dalam bahasa Malaysia dan Cina.

“Bahasa kebangsaan dipaparkan dengan cukup jelas dalam banner rasmi, ini membuktikan semua pihak memang menghormati bahasa kebangsaan lebih-lebih lagi pihak sekolah.

“Paling penting kita turun padang berbakti dan membantu rakyat yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama,” kata Kor Ming lagi.