Malaysia Dateline

Menteri Pendidikan lebih baik panggil semua pihak duduk berbincang

Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional amat terkilan dengan kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berhubung keputusan sesi persekolahan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, kenyataan Radzi beberapa hari lalu tidak wajar sama sekali diungkapkan apabila mempertikai pandangan dan teguran dari pelbagai pihak berhubung persoalan tersebut.

“Sewajarnya Menteri melihat segala pandangan dan teguran yang diberikan oleh pelbagai pihak kepada KPM, bukan untuk memburukkan KPM.

“Ia hanyalah satu usaha dan tanggungjawab pelbagai pihak bagi memastikan KPM membuat keputusan yang sesuai seiring dengan meminimumkan jangkitan wabak di sekolah serta mengelakkan murid ketinggalan dalam pelajaran,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Radzi antara lain berkata, keputusan akhir terpaksa diambil dengan menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka memandangkan kes harian Covid-19 begitu tinggi sehingga mencecah 4,000 kes.

“Ketika itu ramai yang kata menteri ini sekejap begitu, sekejap begini tetapi semua orang boleh sembang dan cakap patut buat macam itu, macam ini. Hakikatnya yang sembang itu pun tidak pernah menangani krisis Covid-19,” kata Radzi pada 28 Mac lalu.

Sehubungan itu, Dr. Hasan berharap agar Radzi bersifat lebih terbuka dan rasional dalam merima pandangan.

“Tidak manis YB Menteri mengecam pihak-pihak memberi pandangan, dan adalah lebih baik YB Menteri memanggil semua pihak duduk berbincang dalam satu Jawatankuasa khas yang melihat perkara ini secara tuntas.

“Inilah antara faktor mengapa sidang Parlimen perlu diadakan. Dengan cara ini, segala pandangan boleh disalurkan terus dan pastinya membantu KPM membuat keputusan yang relevan dengan situasi semasa,” ujarnya lagi.