Malaysia Dateline

Menteri Pendidikan pusingan U patut buat ‘homework’

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang dilihat membuat keputusan secara sela-menyela atau flip flop berhubung pembukaan dan penutupan sekolah.

Beliau menyifatkan cara senator dari Bersatu itu mengurus sesi persekolahan pada waktu pandemik Covid-19 amat mengelirukan dan tidak konsisten.

Menurutnya, Radzi wajar terlebih dahulu merujuk Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan sesi persekolahan atau melaksanakan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

“Baru semalam Radzi Jidin Menteri Pendiidiian bersuara. Itu pun tidak konsisten. Cara Menteri KPM urus sesi persekolahan di waktu pandemik amat mengelirukan.

“Apakah Radzi Jidin buat kerja rumah yang sempurna? Apakah dia merujuk KKM sebelum membuat keputusan? Kita ragu. Wujud beza pandangan antara dia dengan Menteri KKM,” katanya.

Untuk rekod, Radzi membuat pusingan U apabila mengumumkan untuk melaksanakan sesi PdPR selama dua minggu selepas cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri.

Pengumuman itu hanya beberapa jam dia dalam sidang media khas berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) komited meneruskan sesi persekolahan kerana prosedur operasi standard (SOP) di sekolah diyakini dapat mengawal penularan Covid-19.

“Radzi berkata keputusan baru itu dibuat untuk elok risiko jangkitan Covid-19 di sekolah lepas cuti Aidilfitri

“Kenapa sebelum buat U-turn, Radzi mahu sesi sekolah diteruskan? Dia dakwa sekolah adalah selamat dan bukan tempat pencetus kluster Covid-19.

“Dia dakwa keputusan KPM itu berdasarkan data dan analisis,” kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu.

Mengulas dakwaan Radzi bahawa terdapat 2,274 kes Covid-19 membabitkan 52 sekolah di bawah KPM, Puad berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan seramai 23,739 pelajar di bawah umur 12 tahun telah dijangkiti Covid-19 tahun ini.

“Sebagai perbandingan, sebanyak 8,369 kes seperti ini telah dilaporkan sepanjang tahun 2020.
Menurut Adham, data itu menunjukkan betapa mudahnya kes ditularkan di sekolah akibat pergaulan.

“Tahukah Radzi Jidin ada ibu bapa yang diuji postif tetapi membiarkan anak mereka datang ke sekolah. Do your homework,” tegas Puad lagi.