Malaysia Dateline

Menteri Pendidikan tiada kepimpinan, bimbang wujudnya ‘generasi ketinggalan’

Tanggapan awam melihat Kementerian Pendidikan diterajui Dr Mohd Radzi Md Jidin tidak memiliki kepimpinan yang jelas ketika negara berdepan impak pandemik Covid-19.

Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda berkata, persepsi itu mengundang persoalan sejauhmana Kementerian Pendidikan dapat menangani risiko kemunculan ‘generasi ketinggalan’ atau ‘lost generation’.

“Ada kira-kira 500,000 individu yang menjadi warga dalam Kementerian Pendidikan. Ini satu jumlah yang besar dan menuntut kepimpinan yang jelas dari menteri.

“Menteri Pendidikan sebelum ini termasuk Dr Maszlee Malik pun ada kepimpinannya. Namun, persepsi masyarakat melihat Dr Radzi sebagai tidak jelas.

“Sistem di peringkat PPD dan JPN menuntut arahan jelas dari ketua. Tapi apabila menteri sendiri tiada kepimpinan yang jelas, maka di peringkat bawah lagi terjejas,” katanya menerusi Facebook Live di slot Naratif sebentar tadi.

Semalam, Hasbie dalam kenyataan menyifatkan pengumuman mengejut mengenai sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini yang hanya melibatkan pelajar menduduki peperiksaan ekoran peningkatan kes Covid-19 sebagai menyusahkan ramai pihak terutama ibu bapa, guru dan murid dalam membuat persediaan.

Beliau menegaskan Kementerian Pendidikan sewajarnya sudah boleh membuat unjuran lebih awal memandangkan trend kes Covid-19 yang semakin meningkat melebihi empat angka sudah lama berlaku.

Menjawab tuduhan kononnya Pemuda AMANAH sengaja ‘tembak’ kerajaan, Hasbie berkata, kepimpinan Menteri Pendidikan ada kaitan dengan risiko kemunculan ‘generasi ketinggalan’.

“Bukan sangat nak tembak kerajaan. Pendidikan bukan isu popular tetapi isu amat penting kerana melibatkan masa depan jutaan murid yang sedang belajar.

“Kita bimbang ada generasi yang mangli tidak belajar seterusnya merencatkan masa depan negara.

“Rakyat harap pada menteri, timbalan menteri dan kepimpinan di kementerian buat keputusan yang terbaik bukan berubah-ubah,” tegasnya dalam slot dimoderatorkan Zamirul Nur Hakim itu.

Menerusi forum bertajuk “PKP 2.0 + Darurat: Krisis Pendidikan Kian Memuncak?”, Hasbie menggesa menteri berkenaan mendapatkan pandangan pelbagai pihak merentas parti.

“Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan terbesar dengan 20 peratus dari Belanjawan 2021.

“Ramai orang terlibat. Ramai pelajar yang betul-betul bergantung pada kepimpinan yang jelas di pihak Kementerian Pendidikan,” ujarnya.

LANJUT MENYUSUL