Menteri Perpaduan lawat New Delhi

Menteri Perpaduan lawat New Delhi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P Waytha Moorthy bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Luar India Shri S Jaishankar di New Delhi semalam.

Menteri yang dalam lawatan kerja rasmi ke India itu menyampaikan ucapan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Narendra Modi atas kemenangannya pada pilihan raya umum Mei lalu.

Untuk rekod, Modi dari parti nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP) mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua memimpin India.

Memetik kenyataan dari pejabat Waytha yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu, Malaysia dan India mempunyai hubungan sejarah dan budaya yang sedia ada.

Pemberitahuan lawatan Waytha Moorthy ke New Delhi itu dimuat naik di Facebook beliau hari ini dalam versi hanya bahasa Inggeris dan bahasa Tamil.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut memberitahu kunjungan Waytha akan meningkatkan lagi hubungan dua hala melalui perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur, pendidikan, budaya, pelancongan dan kesihatan yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua negara.

Katanya lagi, Malaysia adalah rakan dagangan ke-10 terbesar bagi India pada masa ini dengan kerjasama perdagangan dan ekonomi dua hala lebih daripada AS$15 bilion (RM63 bilion).

Kesesuaian

Bagaimanapun, kunjungan Waytha ke New Delhi itu mengundang pertikaian orang ramai antaranya kedudukan Datuk Saifuddin Abdullah yang masih sebagai Menteri Luar.

Selain itu, lawatan kerja rasmi Waytha itu berlaku selepas kerajaan India memberi nota permohonan kepada Malaysia bagi mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Turut dipersoal tentang kesesuaian waktu lawatan Waytha memandangkan India telah menghapuskan status istimewa Kashmir pada 5 Ogos lalu beberapa jam selepas New Delhi mengenakan perintah berkurung di wilayah majoriti penganut Islam itu.

Terdahulu, pihak berkuasa India pada 2 Ogos lalu memberitahu pelancong supaya meninggalkan Kashmir kerana ‘ancaman keganasan’, manakala laporan media menyebut 25,000 ketumbukan tentera telah dihantar ke wilayah Himalaya yang bergolak itu.

India juga sebelum ini mengharamkan parti politik Islam Pakistan, Jamaat-e-Islami (JeI) di Kashmir selama lima tahun kerana didakwa menyokong kumpulan pemisah di wilayah tersebut.

Kementerian Dalam Negeri India menyifatkan JeI boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada banyak pihak.

Difahamkan ratusan penduduk sudah ditahan kerana dituduh bersimpati dan didakwa menyokong penentangan kumpulan pemisah di Kashmir, lapor Al Jazeera.

Seramai 500 individu daripada pelbagai latar belakang termasuk pensyarah universiti dan aktivis dilapor telah ditahan dalam operasi dijalankan oleh pihak berkuasa India di Kashmir.