Menteri Pertahanan nafi kempen tabung ganti Viva

Menteri Pertahanan nafi kempen tabung ganti Viva

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menafikan pelancaran kempen mengutip derma RM1 bagi menggantikan kereta Viva miliknya.

Beliau dalam Twitternya, Mohamad Sabu @MSabu_Offical hari ini memaklumkan bahawa gerakan Tabung Kereta Baru Mat Sabu (TKBMS) adalah palsu dan tidak benar.

Sementara itu, Mohamad yang juga Presiden AMANAH menerusi Facebook rasminya turut menyatakan tiada sebarang derma yang boleh dikutip menggunakan nama beliau tanpa sebarang persetujuan dan kebenarannya.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya akan menggunakan hak yang saya terima sebagai seorang menteri namun tidak pula akan mengambil lebih daripada itu,” katanya.

Mohamad turut menyebut tentang dua lagi kenyataan palsu berkaitannya sebelum ini.

“Pertama tersebar dan tular gambar kononnya saya mahu memandu kenderaan Perodua Viva milik anak saya dan tidak mahu menggunakan kenderaan rasmi serta pengiring disediakan kementerian pada hari pertama bekerja.

“Kedua tersebar dan tular juga gambar kononnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berbuka puasa di rumah saya sedangkan gambar tersebut merupakan gambar lama ketika kedua-dua tokoh tersebut makan malam di rumah saya tahun lalu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohamad memberitahu kenyataan beliau hanya akan disiar menerusi akaun media sosial seperti berikut iaitu Facebook: Mohamad Sabu – Menteri Pertahanan Malaysia, Twitter: @MSabu_Official dan Instagram: msabu_official.

4.0
OVERALL SCORE
: 9.0
4 user votes x 2.8
CATEGORIES
TAGS