Malaysia Dateline

Menteri PH tidak semewah dulu, ratusan ribu ringgit jimat untuk rakyat

Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melakukan reformasi institusi sehingga berjaya menyelamatkan banyak wang negara yang dapat disalurkan kepada rakyat.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Selangor tersebut menyifatkan tidak ramai yang menyedari tentang kejayaan besar PH itu.

“Antara reformasi besar yang telah dilakukan bukan sahaja kita menangani pemurnian institusi yang sebelum ini dicekik oleh eksekutif.

“Bahkan, kita membebaskan institusi-institusi supaya benar-benar dapat berfungsi kembali sebagai mekanisme semak dan imbang kepada eksekutif.

Dr Dzulkefly Ahmad

“Itulah kejayaan besar (PH) yang tidak ramai memandang sebagai kritikal. Kita mulakan dengan mudah dan asas. Persoalan integriti dan memurnikan semula institusi bermula dengan diri kami sendiri.

“Hari ini kerana kita tidak semewah pemimpin-pemimpin politik pada pentadbiran yang lalu, ratusan ribu (ringgit) kita jimatkan kerana kita tidak menikmati perjalanan mewah.

“Oleh sebab itu sahaja, kita berjaya menjimatkan untuk wang dikembalikan bagi perbelanjaan rakyat,” ujarnya alam sesi ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini.

Menteri Kesihatan itu berkata, tekad pemimpin kerajaan PH dalam mengelak daripada terjebak ke kancah jenayah korupsi terbukti dengan rekod bersih daripada tindakan mahkamah.

“Sehingga hari ini, belum ada seorang menteri pun dalam kerajaan Pakatan Harapan yang diheret ke mahkamah kerana rasuah dan salah guna kuasa,” tegasnya.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly yakin hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan matlamat menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah dapat dicapai.

“Kita mesti optimis dengan apa yang kita percaya. InsyaAllah dalam tempoh empat tahun akan datang, kita dapat menyusun dan mengembalikan falsafah kemakmuran bersama yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir.

“Sama-sama kita galas untuk kita lunaskan cita-cita besar dan mulia ini,” ujar bekas pensyarah di Fakulti Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi.