Malaysia Dateline

Menteri PN mesti henti perlekeh, salahkan rakyat

Kenyataan yang memperlekeh graduan dan golongan pekerja memberi gambaran kegagalan Menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memahami realiti sebenar permasalahan rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berpendapat, tidak hairanlah ekonomi Malaysia kini berhadapan dengan kelembapan ketara dan gagal berada di atas landasan sepatutnya sewaktu fasa pemulihan ekonomi.

“Menteri-menteri PN perlu lebih peka menyelami permasalahan rakyat dan hentikanlah daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan berterusan yang memperlekeh dan menyalahkan rakyat yang mendambakan pembelaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata demikian dalam satu kenyataan bersama hari ini dengan Setiausaha AMK, Syukri Razab.

Reaksi mereka susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 4 April lalu bahawa golongan siswazah yang mempunyai perkerjaan dengan gaji rendah waktu ini perlu bersyukur.

Dia yang juga dikenali sebagai Tok Pa berkata, pasaran kerja tahun lalu lemah akibat ekonomi negara yang menguncup kepada 5.6 peratus.

Dalam masa sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan juga mengulangi seruan supaya pekerja menerima kerja dengan gaji rendah daripada tiada kerja langsung.

“Fakta kegagalan pengurusan ekonomi Malaysia disokong dengan kemerosotan mendadak Pelaburan Langsung Asing (FDI) sehingga 68 peratus, penguncupan KDNK bagi tahun 2020 yang menyusut kepada -5.6 peratus serta peningkatan pengangguran sehingga 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 walaupun Program Pengekalan Pekerjaan dan Program Subsidi Upah telah diperkenalkan.

“Kini ditambah pula dengan kenyataan culas Menteri seolah-olah merestui tindakan sesetengah majikan yang memanipulasi keadaan dengan membuang pekerja sedia ada yang sudah berpengalaman dan mengambil graduan sebagai pekerja baru dengan menawarkan gaji jauh lebih rendah,” jelas Akmal dan Syukri.