Malaysia Dateline

Menteri PPBM mahu Undi 18 dilaksanakan

Menteri Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yakin bahawa laluan kepada pemimpin muda perlu dibuka seluasnya dengan memberi kepercayaan kepada pengundi 18 untuk turut serta memilih pemimpin mereka.

Beliau berkata, semua pihak perlu berani berdepan dengan semua peringkat umur dalam mendapatkan legitimasi pemerintahan melalui proses demokrasi

Menurutnya, penyertaan anak muda seawal usia 18 tahun dalam proses demokrasi khususnya pilihan raya adalah satu medan terbaik untuk mereka menentukan masa depan negara.

“Sokongan anak muda semakin menonjol terhadap pemerintahan PN hasil daripada usaha dan keprihatinan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani permasalahan dan cabaran mutakhir ini.

“Sekiranya diberi peluang, saya yakin dan percaya mereka boleh memilih secara rasional.

“Inilah masanya untuk mereka menyuarakan dan memperjuangkan isu yang membelenggu kumpulan ini supaya isu mereka tidak dipandang enteng,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, inilah masanya untuk anak muda terus membuka mata dan cakna mengenai isu-isu disekeliling mereka seterusnya mematangkan mereka.

Tidak ketinggalan, beliau juga ingin melihat lebih ramai calon-calon muda dalam kalangan wanita diketengahkan untuk pilihanraya yang akan datang supaya hak dan isu-isu berkaitan kumpulan ini dapat diketengahkan sekaligus mencapai sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan.