Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah (PBB-Asajaya) juga menuduh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo “bermain politik” apabila mendakwa RTM akan berlaku adil dalam liputannya.
“Gobind patut belajar lagi. Kita semua rakyat Malaysia. Kami tak pernah kata kami bukan rakyat Malaysia. Ini perkara persekutuan dan kita ada RTM di sini,” kata Karim kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.
Beliau faham jika RTM tidak membuat liputan ke atas acara Gabungan Parti Sarawak (GPS), tetapi ia harus menyiarkan program-program kerajaan negeri.
Karim memberi amaran Pakatan Harapan dalam bahaya menjadi kerajaan sepenggal kerana menghampakan rakyat yang mengundi gabungan itu kerana slogan ketelusan.
“Inilah jenis menteri-menteri yang kita ada hari ini. Menteri-menteri yang berbohong mengenai latar belakang akademik dan tidak tahu bagaimana menyatukan rakyat.
“Tetapi tidak mengapa, kerana petunjuk dalam 3 pilihan raya kecil sudah jelas. Kepada ahli-ahli Parlimen berkenaan, bersenang-lenanglah. Nikmati kuasa ada. Anda semua akan ditendang keluar selepas ini. Kerajaan itu akan ditendang keluar pada pilihan raya akan datang,” katanya seperti dipetik FMT hari ini..
Irene Chang (DAP-Bukit Assek) bangun mempertahankan Gobind, dan berkata: “Tidak pernah ada arahan mengarahkan RTM jangan buat liputan ke atas acara-acara GPS”.
Sebaliknya, kerajaan Barisan Nasional dahulu yang menghalang liputan ke atas pembangkang, katanya.
“Sebelum kami jadi kerajaan, tiada seorang pun daripada kami muncul di RTM. Kami tidak diberi peluang yang adil,” katanya, dan menambah Gobind meminta RTM berlaku adil dalam liputannnya.
Tetapi Karim berkata arahan atas kertas mungkin tidak sama dengan apa yang disampaikan secara lisan.
“Sebab itu saya kata dia bermain politik,” katanya.
“Mereka (PH) tak cakap serupa bikin. Rakyat pilih PH jadi kerajaan sebab mereka mahukan kerajaan yang lebih telus,” katanya.
“Mereka asyik salahkan isu 1MDB atas masalah kekurangan dana, tetapi sambil itu, mereka meluluskan projek-projek di negeri-negeri lain.”
“Projek-projek itu termasuk Belaga Waterfront, penambahbaikan kolam air panas Kampung Panchor, dan menambahbaik kemudahan pelancongan di Gunung Serumbu, Bau,” katanya, dan menambah kebanyakan projek-projek itu di penghujung peringkat penyediaan tender.