Malaysia Dateline

Menteri sendiri sambil lewa, jangan salahkan negara lain bolot vaksin

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan menegaskan bahawa vaksinasi masih merupakan jalan keluar yang terbaik daripada pandemik Covid-19.

Beliau mengakui terkejut apabila Khairy mengatakan bahawa vaksinasi bukanlah penyelesaian yang terjamin untuk pandemik Covid-19, sedangkan menurut Lim itulah yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Beliau turut menegur tindakan Khairy yang cuba menyalahkan negara lain bahawa mereka membolot vaksin, walhal Khairy sendiri sambil lewa untuk mendapatkan tempahan vaksin.

Menurutnya, banyak negara telah dibuka semula kerana kejayaan program imunisasi mereka sehingga dapat dilihat stadium bola sepak dipenuhi orang yang menyaksikan kejuaraan bola sepak UEFA Euro 2020.

“Khairy telah menyalahkan negara-negara Barat kerana membolot bekalan vaksin yang berlaku di atas ketidakcekapan PN untuk mendapatkan vaksin segera. Namun, masalah seperti itu nampaknya tidak dihadapi Singapura dan Indonesia.

“Adakah Khairy ingin mengatakan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mungkin membelanjakan RM5 bilion dengan sia-sia untuk mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus penduduk menjelang 31 Disember nanti?

“Jangan lupa, PN telah dikritik hebat kerana menyalahgunakan kuasa darurat untuk meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara tanpa kelulusan Parlimen bagi menggunakan RM5 bilion untuk PICK,” tegasnya dalam satu kenyataan petang tadi.

Pada masa sama Lim menegaskan bahawa Khairy perlu menjelaskan secara terbuka kenyataannya dalam webinar yang dianjurkan oleh Oxford & Cambridge Alumni Network Malaysia pada 16 Jun, bahawa imuniti kelompok bukanlah penyelesaiannya.

Menambah kekeliruan dasar mengenai imuniti kelompok, Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin terus menggunakan istilah tersebut beberapa hari yang lalu.

“Jadi adakah Kerajaan PN telah berubah-ubah fikiran lagi sama ada mereka telah mengabaikan matlamat imuniti kelompok?,” soalnya.