Menteri setuju libatkan mahasiswa dalam jawatankuasa mansuh AUKU

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bersetuju dengan tuntutan mahasiswa agar mereka dilibatkan dalam Jawatankuasa Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional, Fakhrul Razi Hamdan berkata, pertemuan kumpulan penuntut universiti kelmarin dengan Dr Maszlee juga menyaksikan Gerakan Pembebasan Akademik (GPA) diiktiraf sebagai badan pemantau sah dalam Pilihan Raya Kampus.

Jelasnya, tuntutan supaya kes-kes AUKU terdahulu yang melibatkan aktivis mahasiswa digugurkan serta-merta juga dipersetujui Dr Maszlee serta memastikan tidak ada lagi tuduhan bermotifkan politik terhadap mahasiswa pada masa akan datang.

Fakhrul dalam kenyataannya juga memberitahu Dr Maszlee turut mengumumkan tiga perkara yang dianggap sebagai berita baik untuk mahasiswa iaitu:

1. Pemansuhan Seksyen 15 AUKU, Seksyen 47 Akta IPTS, Seksyen 2 (c) Akta 174 akan dibentangkan pada sidang Parlimen bulan ini.

2. Pindaan Perlembagaan UIAM terutama perkara 28 didalam Disciplinary Act 2004 akan dibuat untuk memastikan mahasiswa diberi kebebasan dalam partisipasi di dalam politik. Tambahan pula Mahasiswa akan mendapat posisi di dalam Senat sebagai wakil suara mahasiswa.

3. Grievance Committe akan ditubuhkan di mana komiti ini akan berperanan sebagai saluran kepada staff dan mahasiswa untuk mengadu permasalahan yang berlaku tanpa ada campur tangan pihak pentadbiran.

Menurut Fakhrul, pengumuman Dr Maszlee itu berlaku dalam pertemuan tertutup kumpulan mahasiswa di Hotel Everly Putrajaya.

Selain Mahasiswa AMANAH Nasional, turut terlibat Gabungan Pembebasan Akademik (GPA), Mahasiswa Keadilan (MKM), Mahasiswa Bersatu, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) dan Mahasiswa DAPSY.

“Mahasiswa telah mengemukakan beberapa cadangan dan kritikan kepada YB Menteri dalam usaha beliau mereformasikan sistem pendidikan negara khususnya yang berkaitan dengan kemahasiswaan.

“Antara isu-isu yang dibincangkan bersama adalah berkaitan tentang pemansuhan AUKU, perjalanan sistem pilihan raya kampus, hak kebebasan bersuara di dalam kampus serta penglibatan mahasiswa untuk berpolitik di dalam dan luar kampus.

“Perbahasan berlangsung dengan baik dan tenang. Berdasarkan perjumpaan tersebut, YB Dr. Maszlee memberi komitmen penuh untuk reformasi pendidikan di setiap peringkat terutama peringkat universiti,” kata Fakhrul.

Sehubungan itu, Mahasiswa AMANAH, ujarnya berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Maszlee atas kesudian mengadakan pertemuan itu dan menyokong segala agenda reformasi yang sedang dan ingin dibawa dalam dunia pendidikan negara.

“Walau bagaimanapun, kami akan terus bersuara untuk menegur setiap pihak jika wujud kepincangan dalam urus tadbir negara dan akan terus mengingatkan para pemimpin agar mengotakan segala janji dan harapan yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia,” jelas Fakhrul lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS