Malaysia Dateline

Menteri sibuk selfie, keputusan pesakit Kategori 1 dan 2 tidak ke CAC tidak terlaksana

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta melaksanakan segera keputusan untuk mempastikan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 tidak dihantar ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi mengelakkan limpahan berlaku di pusat itu.

Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Musa mendengar taklimat dari Pengurus syarikat yang mengendalikan Stadium Melawati, Ahmad Sayuti Bashiron tentang pengendalian CAC itu.

Anggota Pasukan Bertindak Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Dr Musa Nordin berkata, selepas sembilan hari keputusan dibuat agar pesakit Kategori 1 dan 2 tidak dibawa ke CAC, tijauan beliau dan pasukannya ke CAC Stadium Malawati hari ini mendapati ia tidak berlaku.

Suasana di CAC Stadium Melawati hari ini.

“Saya agak 90% covid kategori 1-2. Mereka tak sepatut ada di sini. Boleh dipantau dari rumah,” kata Dr Musa dalam catatan beliau menerusi Twitternya.

Menurut Dr Musa, sembilan hari telah berlalu tetapi KKM masih lagi tidak operasikan pemantauan digital di rumah.

“Greater Klang Valley Task Force (GKVTF) gagal untuk operasikan kaedah baru ini!

“Pimpinan KKM mungkin sibuk siapkan protokol cantik di Putrajaya selama 9 hari … atau mungkin sibuk selfie?” kata beliau merujuk kepada gambar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham baba yang turut datang ke CAC itu hari ini tetapi sibuk berselfie sahaja (gambar atas sekali).

Menurut Dr Musa, keadaan luarbiasa yang berlaku sekarang perlukan tindakan luarbiasa.

Ibu dengan bayinya yang turut terpaksa datang ke CAC Melawati hari ini.

“KKM mesti lebih proaktif! Pimpinan KKM yang WFH (work from home) mesti turun padang ke-CAC, PPV, PKD, PKRC, MAEPS.

“Hanya demikian mereka memahami realiti di medan perang covid,” kata beliau.

Dr Musa meminta mereka menyaksikan sendiri bagaimana para petugas dan sukarelawan yang bertugas di sini sudah keletihan.

“Saksikan doktor & sukarelawan yang keletihan, pitam, burnout & kenapa quit KKM,” kata beliau.

“Quit KKM” dipercayai merujuk kepada para doktor dan petugas kesihatan yang mula meletakkan jawatan mereka dari KKM.

Hari ini, pihak pengurusan CAC Stadium Melawati menjangkakan 5,000 pesakit Covid-19 akan pusat penialaian itu, lebih 500 pesakit berbanding 4,500 pesakit yang mengunjungi CAC itu 12 Julai lalu sehingga menimbulkan kekecohan di pusat itu.

Ekoran itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk DrChong Chee Kheong, mengumumkan pihak akan membuat dasar baharu iaitu pesakit kategori 1 dan 2 tidak perlu ke CAC, mereka boleh membuat kuarantin kendiri di rumah masing-masing dengan bantuan aplikasi yang disahkan termasuk Selangkah yang disiapkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Namun, pada hari ini lawatan Dr Musa bersama dengan Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad, Pengerusi STFC mendapati 90 peratus dari yang datang ke CAC  itu termasuk dalam Kategori 1 dan 2 ini.