Malaysia Dateline

Menteri tak siuman, rakyat tolong rakyat

Dibayar gaji RM57,227 sebulan – itu tidak termasuk kereta, pemandu, ADC dan pembayaran elaun lain, namun cara pemikiran beliau langsung tidak setimpal dengan cara pemikirannya.

Sebagai tokoh agama dan memandangkan pula jawatan Menteri yang dipegangnya, sepatutnya Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, jika mempunyai maruah dan sifat tanggungjawab tidak akan menerima sebarang jawatan Kabinet pun.

Kenyataan awal beliau bahawa negara tidak terjejas dengan kesan Taufan Rai berpunca dari Filipina amat bodoh dan datang dari seorang yang tidak siuman – ia tidak boleh diterima oleh rakyat apatah lagi dimaafkan.

Amat memalukan, tapi itulah cetek dan bangangnya pemikiran Menteri Alam Sekitar dan Air berhubung banjir yang melanda negara kita.

Jika dibandingkan dengan program cuaca CNN, sebelum ribut taufan melanda pantai atau daratan Amerika Syarikat, setiap 30 minit mereka akan mengikuti pergerakan taufan tersebut dan melaporkan kepada umum.

Apakah beliau menganggap rakyat boleh terima kenyataan awal tersebut kerana datangnya daripada seorang berjawatan Menteri?

Sejak kenyataan tersebut, beliau sudah hilang dari radar; entah ke mana?

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakub pula cuba menyelamatkan keadaan dengan mengatakan beliau tidak sangka akibat banjir tersebut yang begitu besar – kenyataan ini pun rata-rata orang kampung menggangap satu kenyataan datangnya dari seorang Sidang atau Tok Penggawa.

Terkini, kenyataan akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terus menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi yang ditubuhkan khas menjaga bencana alam.

Umum berpendapat kenyataan Dr. Latip Ahmad ini baghal, bodoh dan tidak mustahil terminum air ketum berlebihan.

Kita salute sekumpulan tentera yang sanggup membantu mereka yang terjejas walaupun tidak dapat persetujuan Menteri Baghal ini dan NADMA.

Alasan yang diberi ialah kos menyelamat dan membiayai banjir yang melanda negara terlalu besar tetapi belanja projek 5G sebanyak hampir RM20 bilion yang dilakukan Mahiaddin tanpa sebarang tender dan mengikuti prosedur kerajaan ada pula wangnya.

Jika pilihan raya pandai pula mencari dan merayu pengundi-pengundi, janji itu dan ini tetapi bencana alam, murid sekolah pun boleh buat kenyataan lebih baik.

Apakah peti TV beliau rosak sehingga tidak tahu apa yang sedang berlaku?

Zafrul, Menteri Kewangan pula ‘berlakon’ kononnya nak buat operasi menyelamat tetapi bot yang dinaiki itu penuh dengan pegawai – di manalah letaknya akal beliau ini?

Kelayakan menerima bantuan RM1,000 yang diumum oleh Ismail Sabri semalam amat mengecewakan apabila Menteri Noh Omar atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Noh Udang’ mana-mana dewan tidak berdaftar maka mangsa banjir tidak boleh terima bantuan tersebut. Sudahlah gelaran Noh Udang; agaknya dalam keadaan rakyat tertekan di mana letaknya otak beliau?

Sebenarnya bak kata pepatah, ikan itu busuk dari kepala.

Oleh kerana Perdana Menteri itu dungu dan baghal maka seluruh badan sehingga ekor pun rosak.

Langsung tidak ada sebarang koordinasi antara kerajaan Pusat dan Negeri, apatah lagi daerah. Inilah akibat yang bermula daripada Langkah Sheraton.

Jalan selamat bagi Ismail Sabri, JIKA BERMARUAH DAN TIDAK MEMENTINGKAN DIRI ialah MELETAK JAWATAN Perdana Menteri dan diikuti oleh barisan Menteri yang lain.

Saya pernah kata Mahiaddin bodoh dan gagal, namun apa yang jelas terbukti beliau ini bijak sedikit dari Perdana Menteri sekarang.

Peduli apa dengan rakyat! Rakyat tidak penting. Yang penting ialah nyawa menantu beliau mesti diselamatkan dahulu.

Mungkin Ismail dan Kabinet dah buat bancian jumlah mereka yang layak dan cara mana nak dapatkan bantuan RM1,000 yang diumum sedangkan duit bantuan pemandu taksi sebanyak RM500 yang diumumkan Mahiaddin dulu sehingga sekarang pun tinggal janji sahaja.

Jika rakyat sokong mereka, memang patut pun dijual hidup-hidup. Rakyat tolong rakyat bukan kerajaan tolong rakyat.