Menteri tiada kesungguhan politik tangani isu nelayan tempatan

Masalah nelayan tempatan masih gagal ditangani oleh kerajaan kerana masih ramai nelayan khususnya di Terengganu berpendapatan di bawah garis kemiskinan dan menghadapi masalah bot nelayan haram dari Vietnam di negeri itu.

Menteri tiada kesungguhan politik tangani isu nelayan tempatan

 

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Ahli Parlimen Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berpendapat, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani gagal menangani masalah kehadiran bot-bot nelayan Vietnam diperairan negeri itu sejak sekian lama.

“Saya percaya ketiadaan kesungguhan politik (political will) gagal menangani isu utama nelayan tempatan.

“Wakil nelayan yang datang ke Parlimen setiap tahun sejak PRU-13 sudah tiada kepercayaan terhadap Kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka dan mungkin tidak lagi berminat mendengar janji kosong dan alasan lapuk Kerajaan dan menteri dipertanggungjawabkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sewajarnya Datuk Seri Ahmad Sabery Cheek lebih peka dengan nasib nelayan di Terengganu.

Raja Bahrin merujuk kepada kajian yang dilakukan di kawasan program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Terengganu (SPKR).

Daripada kajian dilakukan pada April 2012- Oktober 2013 itu mendapati daripada beberapa kawasan di negeri itu yang menerima bantuan membabitkan Marang,Kemaman,Setiu,Besut, Dungun,Kemasik, Kerteh,Kijal,Merchang dan Paka hanya 41 peratus nelayan di bawah skim ini memperoleh pendapatan isi rumah sebanyak RM500.

Manakala 29 peratus berpendapatan RM200-RM400, kategori pendapatan RM600-RM800 hanya 25 peratus dan pendapatan RM1000-RM1200 hanya 6 peratus sahaja.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek“Menteri adalah orang Terengganu dan kajian itu mendapati ada ramai lagi Nelayan Terengganu dengan pendapatan RM 400, jauh dibawah taraf kemiskinan.

“Selepas 60 tahun Merdeka nasib Nelayan masih tidak terbela. Sudahlah tidak ada idea dan kesungguhan, apabila kami memberi cadangan ‘idea’ untuk dipertimbangkan, diperlekeh pula katakan macam dalam ‘wayang’ pula,” ujarnya.

Pada Rabu   Ahmad Shabery ketika menjawab soalan balas Ahli Parlimen Kuala Terengganu  telah  menolak cadangan wakil rakyat Amanah itu supaya mengkaji kegunaan pesawat kecil “Drone”  untuk mengawal persisiran pantai negeri itu, menunjukkan sikap tidak profesional seorang yang bertaraf menteri.

“Pernah dicadangkan untuk pemantaun pada mulanya diterima Menteri untuk dikaji.

“Anehnya apabila Menteri tidak boleh menerima teguran saya bahawa pemantauan dan penguasaan adalah kelemahan yang nyata, Menteri menuduh berkali-kali cadangan pengesyoran kami adalah seperti ‘Wayang’,” ujarnya.

Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah ini lagi, dalam sidang dewan rakyat pada Rabu, beliau telah mengemukakan tiga soalan pada kementerian terbabit.

Bagaimanapun dua soalan tidak dijawab dan satu soalan dengan jawaban yang tidak memuaskan hati.

“Sebaliknya permintaan Menteri untuk nelayan mengambil gambar insiden bot-bot nelayan haram tidak berkesan dan praktikal sama sekali.

“Menteri menuntut saya segera memberi bukti insiden pencerobohan dalam kadar segera.

“Walaupun terdapat laporan dan tangkapan pernah dibuat tidak bermakna dan berkesan kerana pesalah dan bot mereka kembali beroperasi setelah pihak berpengaruh tertentu “menyelesaikan” masalah,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, langkah yang agak berkesan menangani masalah bot nelayan haram ini dengan mencontohi tindakan yang diambil oleh Indonesia, apabila melaksanakan hukuman penjara dan memusnahkan bot nelayan haram di sempadan persisiran negara itu yang turut pernah membabitkan beberapa nelayan Malaysia yang mencerobohi perairan Indonesia tahun lalu.