Malaysia Dateline

Menteri, timbalan tidak ambil gaji tiga bulan

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, barisan Menteri dan Timbalan Menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

“Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” katanya dalam perutusan khas sebentar tadi.

Menjelang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh selama 14 hari mulai esok, Muhyiddin mengumumkan bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) berjumlah RM40 bilion.

Melibatkan suntikan kewangan RM5 bilion daripada kerajaan, dia berkata, bantuan tersebut berlandaskan tiga matlamat utama iaitu Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam, Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan isi rumah pendapatan bawah RM2,500 akan menerima bantuan RM500 pada akhir Jun nanti.

Sementara itu, katanya, isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 pula akan terima bantuan RM300 manakala golongan bujang akan menerima RM100.

Dalam pada itu, seramai dua juta belia, penuntut IPT pula layak mendapat kredit RM150 menerusi program e-Belia yang pendaftarannya dibuka esok.