Menteri Umno sibuk dengan layanan Saudi tapi tak berani tanya soal ‘derma’

Menteri Umno sibuk dengan layanan Saudi tapi tak berani tanya soal ‘derma’

Layanan kerajaan Arab Saudi terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan sebagai istimewa ketika berada di negara itu hanyalah protokol biasa bagi mana-mana pemimpin negara.

Malah layanan mengikut protokol itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengesahkan bahawa ‘derma’ RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib datangnya daripada keluarga diraja Saudi.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata laporan terbaru The Wall Street Journal menunjukkan keadaan lebih teruk apabila mendapati jumlah yang dimasukkan ke akaun Najib bukannya RM2.6 bilion tetapi RM4.2 bilion.

Malah kata Lim, WSJ mendakwa jumlah itu tidak disumbangkan oleh keluarga diraja Saudi sebaliknya melalui pindahan terus melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justeru beliau menjelaskan, layanan istimewa diterima Najib sebagai ketua negara di Arab Saudi tidak perlu digembar-gemburkan untuk membersihkan imej dan nama pemimpin yang menjadi perhatian dunia itu ekoran penglibatannya dalam pelbagai skandal.

“Layanan VIP terhadap Najib tak perlu dihairankan, semua kenamaan dan ketua negara yang bertandang ke Saudi menerima layanan serupa. Tidak ada apa-apa yang istimewa tentang layanan yang diberikan kepada Najib. Benda begini boleh Google sahaja.

“Sudah pastilah ketua negara delegasi diberi layanan VIP sesuai dengan pangkat dan statusnya sebagai pemimpin, bukankah ini namanya protokol? Tak ada istimewanya Najib Razak.

“Mungkin pihak Saudi sendiri punya adab untuk tidak memalukan Najib Razak atas tuduhan menerima sumbangan tunai ke akaun peribadi dengan mendedahkan kebenaran mengenai hal tersebut,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata demikian sebagai mengulas satu kemas kini laman twitter Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan seperti yang dilaporkan media sebagai berkata: “Jika @NajibRazak menipu mengenai derma Arab Saudi, kenapa keluarga diraja Saudi masih memberinya layanan VVIP dan mengukuhkan pertalian? Boleh @wsj jelaskan?

Mengulas lanjut, kata Lip Eng, penyokong tegar Najib sebaliknya harus menuntut penjelasan daripada kerajaan Arab Saudi mengenai kebenaran laporan WSJ berkenaan dan tidak terus membuat andaian setengah masak terhadap layanan ‘istimewa’ yang diterima pemimpin nombor satu itu.

“Apalah teruk sangat pemuka-pemuka Umno BN ini sampai melihat ketua mereka dilayan dengan jambangan bunga dan dapat bergambar dengan monarki Saudi pun sudah begitu teruja.

“Barangkali ‘Universiti Umno’ boleh mengadakan kursus protokol dan budi bahasa supaya mereka tidak cepat melompat.

“Lebih baik lagi, apa kata pemimpin BN sendiri bertanya kepada monarki Saudi kenapa pihaknya enggan mengaku bahawa mereka telah memberi ‘derma’ kepada Najib Razak dan sekaligus membersihkan nama Perdana Menteri.” katanya seperti dilapor Roketkini.

TAGS