Malaysia Dateline

Menteri Undang-Undang cakap pasal saham mampu milik pula

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengundang reaksi sinis banyak pihak.

Tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin berpendapat, isu yang diketengahkan adalah tentang undang-undang.

“Kita bincang pasal undang-undang. Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar cakap pasal saham mampu milik pula,” katanya secara sinis dalam hantaran di Facebook hari ini.

Abdul Kadir Jasin

Semalam, Ahli Parlimen Santubong dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa siasatan terhadap Azam berhubung isu tersebut mengikut lunas undang-undang.

Menurutnya, dua pihak sedang meneliti isu membabitkan abang Nasir tersebut iaitu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di samping mengambil kira pandangan daripada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Sehubungan itu, Wan Junaidi berharap semua pihak bertenang sementara menunggu siasatan tersebut selesai kerana, jelasnya, kerajaan cuba melakukan yang terbaik bagi menyelesaikannya dengan cara yang terbaik.

Dia bahkan mengulas mengenai pemilikan saham oleh Azam dalam syarikat senaraian awam.

Katanya, apabila saham itu pertama kali dibeli pada 2016, satu juta saham itu hanya bernilai RM330,000 iaitu kira-kira berharga antara 30 sen dan 33 sen sesaham.

“Dan saiz saham semasa yang dipegangnya pada masa ini terkumpul selama bertahun-tahun.

“Berdasarkan harga awal, ia bukan saham yang mahal untuk diperolehi. Saya percaya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan daripada kita.

“Bagi mereka yang merupakan peniaga pasaran aktif, adalah perkara biasa untuk meningkatkan pegangan saham anda secara beransur-ansur dari semasa ke semasa terutamanya apabila anda melihat potensinya,” katanya dalam kenyataan semalam.