Menteri Undang-undang sokong LGBT? dakwa NGO

Menteri Undang-undang sokong LGBT? dakwa NGO

Cadangan Liew Vui Keong, Menteri Undang-undang Kerajaan PH untuk menggubal undang-undang berkenaan “intrusion of privacy” atau gangguan terhadap hak kebebasan peribadi dilihat ada udang di sebalik batu.

Cadangan ini dibuat berikutan isu penularan video seks songsang yang dikatakan mirip  menteri kanan Pakatan Harapan.

Menurut Liew, penularan itu adalah gangguan terhadap kebebasan peribadi (iaitu kebebasan peribadi kepada pelaku-pelaku dalam video seks tersebut).

Namun, cadangan ini dianggap sebagai usaha melindungi perbuatan jenayah atas alasan kebebasan peribadi.

“Saya ingin berkata kepada Menteri Undang-undang PH ini: Seseorang itu tidak lagi boleh berselindung di belakang hak kebebasan peribadi apabila perkara yang dilakukannya adalah sesuatu jenayah walaupun ia adalah jenayah suka sama suka di tempat tersorok,” kata Isham Jalil, Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu.

Isham Jalil

Kerajaan pada Selasa  berkata,  sedang mengkaji kemungkinan untuk mengkategorikan pencerobohan privasi sebagai kesalahan jenayah selain memperkenalkan undang-undang anti intipan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Liew Vui Keong.

Menurut Isham, jika seseorang atau pasangannya meliwat, curang dan melakukan persetubuhan dengan bukan isteri atau suaminya, melakukan seks luar tabii, mengedar dadah atau melakukan jenayah-jenayah lain di tempat tersorok seperti dalam bilik hotelnya, penjenayah itu tidak boleh kata itu hak kebebasan peribadinya.

Perlakuan-perlakuan di atas masih termaktub sebagai kesalahan jenayah di bawah undang-undang negara walau di mana ia dilakukan di Malaysia, kata Isham lagi.

Tegasnya lagi, jika kita buat undang-undang untuk membenarkan jenayah di tempat-tempat peribadi dan tersorok, tak perlulah ada undang-undang sebab hampir semua penjenayah buat kerja jenayah mereka di tempat-tempat tersembunyi dan tersorok dari saksi-saksi awam.

“Alasan Menteri PH untuk mencadangkan undang-undang ini kononnya adalah untuk melindungi kanak-kanak dan wanita sukar diterima kerana jika kanak-kanak terlibat, telah ada peruntukan undang-undang lain untuk melindungi mereka,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimanakah undang-undang ini boleh melindungi wanita apabila ia menggalakkan lagi suami-suami mereka untuk berlaku curang terhadap mereka dengan orang lain?

Dalam konteks semasa, kerajaan didesak supaya segera mengenalpasti siapakah sebenarnya pelaku dalam video tersebut.

Rakyat bukan mahu kerajaan cari jalan untuk melindung dan ‘cover up’ pelaku-pelaku jenayah tersebut dengan membuat undang-undang baru memberikan hak kebebasan peribadi kepada penjenayah-penjenayah untuk mereka lebih galak melakukan jenayah di tempat tersorok.

Jika inilah yang diperjuangkan oleh kerajaan PH hari ini, maka rakyat Malaysia wajar menolak mereka dalam PRU yang akan datang.

Andai undang-undang ini berjaya diwujudkan maka berseronoklah para peminat LGBT di Malaysia. Moga-moga rakyat Malaysia yang masih waras dan prihatin bersama-sama pihak pembangkang menentang cadangan mungkar ini.